Tuesday, August 23, 2011

musafir tarbiyah

Assalamualaikum.

Alhamdulillah selamat pulang dari berjalan-jalan di bumi Andalusia. Panas musim panas di sana hampir mencecah 40 darjah celcius, jauh lebih panas dari suhu di Glasgow dan lebih panas dari Malaysia. Tahap kelembapan juga sangat rendah jika dibandingkan dengan Glasgow mahupun Malaysia. Lagi bertambah perit bila bersiar-siar dalam bulan Ramadhan yang siangnya wajib menahan lapar dan dahaga, serta malamnya digalakkan menghidupkannya.

Alhamdulillah Hamdan Katheeran, bilamana tiba di sana macam-macam yang diperolehi. Bukan sekadar pengalaman berjalan-jalan di negara orang. Yang lebih dan paling penting ialah bagaimana semangat untuk berjuang dan menjadi pejuang yang memburu syahid itu terbina walau musafir hanya berusia kurang 7 hari.

Mungkin rata-rata pengunjung menghayati keindahan senibina tinggalan generasi terdahulu, dan juga menikmati kehidupan malam (baca:nightlife) di bumi Andalucia itu. Tapi hadirnya kami ke sana sebenarnya mencari nilai bangun jatuhnya Kerajaan Islam Andalusia yang bertapak di sana.

Bangunnya Islam di sana disulami dengan kemegahan dan kebesaran senibinanya serta keluasan jajahan takhluknya. Hingga terpegun manusia waima generasi yang serba teknologetik dan canggih manggih. Pujian diberi kepada pencipta dan pembinanya iaitu Muslimin yang memerintah tatkala itu.

Tapi, bilamana runtuhnya Khalifah Islamiyah di Al-Andalusia, memang kesannya sangat-sangat dahsyat. Masjid yang binaanya pada suatu masa dahulu adalah kedua terbesar selepas Masjidil-Haraam kini ditengahnya terletak Katedral besar yang terisi dalamnya segala macam syirik dan maksiat yang durjana. Istana Merah atau al-Hamra yang lebih dikenali sebagai Alhambra pun sama nasibnya. Keluasan kota al-Hamra itu tercemar dengan hadirnya binaan Katedral, yang juga ditengah-tengah kota.

Benar, Islam membawa pengaruh yang besar kepada kebudayaan dan tradisi masyarakat Sepanyol khususnya di wilayah Andalusia. Tapi semuanya itu telah terasimilasi menjadi budaya yang jauh dari petunjuk dan nilai-nilai Islami. Apa puncanya? Banyak, cuma yang jelas adalah kerana jatuhnya KeIslaman pemerintah itu sendiri, dan buruknya peribadi musuh-musuh Islam sama ada yang Islam sendiri lagi-lagilah yang bukan Islam itu.

Pulangnya dari ziarah tanah bekas kekuasaan Islam sememangnya memberikan semangat untuk menegakkan Islam, tidak hanya dalam diri dan pada keluarga dan kenalan rapat tapi kepada masyarakat, negara dan seluruh alam ini.

Benarlah, niat perlu senantiasa diperbetul. Barulah boleh peroleh natijah yang betul. Dan harapannya agar natijah itu membuah kebaikan yang hak dan diredhai Allah..