Saturday, May 23, 2009

masanya membuat keputusan

Assalamualaikum.

Setinggi-tinggi pujian yang selayaknya bagi Allah, Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan, Muhammad s.a.w., sebaik-baik ciptaanNya. Juga ke atas ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya serta mereka yang taat mengikuti sunnah baginda.

Hari ini saya teringin untuk berkongsi pendapat dan pandangan mengenai keharusan, bahkan tidak keterlaluan sekiranya saya katakan, kewajipan bagi kita untuk membuat keputusan dalam banyak perkara. Hal ini saya rasa perlu memandangkan saya menganggap diri ini sudah berada pada suatu tahap di mana 'decision-making' itu sudah perlu menjadi rutin harian kita semua. Apa yang saya maksudkan adalah membuat keputusan atas perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan yang rapi serta kefahaman yang ampuh terhadap kepertluan dan keharusan bagi kita membuat keputusan. Antaranya, perkara yang melibatkan tujuan hidup kita. Perlu dijelaskan maksud dan tujuan kita hidup atas muka bumi agar kita dapat membuat pilihan yang paling tepat.

Sebenarnya apa yang saya ingin kongsikan pada kali ini adalah berkenaan kepentingan kita memahami setiap tindakan yang kita lakukan dan seterusnya berusaha memperbaiki apa-apa kelemahan yang terhasil natijah tindakan kita tersebut. Kebelakangan ini begitu banyak sekali isu-isu tentang professionalisma, integriti, dan lain-lain yang semaksud dengannya. Persoalan yang timbul dalam benak pemikiran saya ialah mengapa isu-isu ini semakin banyak dibangkitkan dalam arus media massa hari ini. Pernah saya terbaca mengenai 'attitude' atau sikap pengamal perubatan (doktor, doktor gigi, pegawai farmasi, jururawat dsb) yang tidak memuaskan, atau lebih baik sekiranya saya gunakan terma 'tidak profesional'. Mengapa keadaan ini terjadi? Apakah produk-produk universiti hari ini sudah tidak mencapai sasaran yang dikehendaki oleh masyarakat umum? Hari ini saya mengajak diri sendiri serta pembaca budiman untuk sama-sama mengupas perkara ini. Memandangkan saya tuan punya blog, jadi sememangnya saya yang akan memberi segala poin-poin yang dirasakan relevan dengan perbicangan. Walaupun agak 'one-sided' tapi saya rasakan pandangan saya ini juga berdasarkan perkongsian dengan banyak pihak termasuk 'senior lecturers', 'consultant', serta warga emas.

Pertama, pada hemat saya terjadinya perkara ini adalah disebabkan kurangnya minat dan 'passion' terhadap kerjaya yang ditempuh. Perkara yang sama terjadi pada kebanyakan graduan-graduan perubatan dan boleh dikatakan agak 'common'. Kedua, kurangnya penekanan dan penerapan nilai-nilai dan aspek rohani, moral dan etika kepada para penuntut. Justeru, terhasil doktor-doktor yang merokok, walhal merekalah golongan yang sepatutnya menjadi contoh akan tabiat tidak merokok. Ketiga, kurangnya aspek sasaran dan matlamat untuk dicapai pada masa hadapan.

Poin saya yang pertama, mengenai kurangnya minat terhadap bidang yang diceburi. Perkara ini sebenarnya dan sememangnya biasa ditemui pada masa kini. Bahkan agak ramai yang kurang meminati bidang perubatan tapi terpaksa atas alasan keluarga dan lain-lain. Kalau dulu, profesion yang paling popular dikalangan masyarakat adalah guru dan pegawai kerajaan. Namun, kini paradigma sudah berubah. Masyarakat mula melihat kerjaya doktor sebagai suatu lambang kebanggaan. Hingga apabila seseorang yang memperoleh keputusan SPM yang baik, maka menjadi 'trend' masa kini untuk memujuk kemudiannya memaksa si fulan tersebut untuk menceburi bidang perubatan. Bila ditanya mengapa? Jawapan yang tidak asing sekali adalah "duit". Kemudian barulah datang sebab-sebab lain seperti 'boleh tolong orang susah', 'dapat bangunkan ummat' dan macam-macam lagi. Mengapa ini terjadi? Adakah dunia kini hanya berorientasikan material semata-mata? Kalau ya, maka pasti suatu hari nanti tidak ada kerjaya pun yang akan dapat memuaskan hati masyarakat.

Poin kedua, kurangnya nilai-nilai murni yang diterapkan. Tidak dinafikan, apabila disebut mengenai perkara ini saya rasa ingin mengkritik sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia. Bukan mengkritik sepenuhnya tetapi apabila keadaan yang kurang baik menjadi semakin kritikal, maka perlu kepada teguran, komen dan kritikan agar penambahbaikan dapat dibuat. Benar, peperiksaan itu penting bagi membukti penguasaan teori pada diri seseorang pelajar, namun ia perlu juga disusuli dengan peningkatan kendiri yang lazimnya diperoleh melalui latihan luaran dan tidak bersifat 'theoretical'. Namun, apa yang saya dapati, stigma masyarakat menyebabkan perkara ini tidak diambil peduli lantas lahirlah generasi yang ulat buku tapi buta hati. Golongan ini berpendapat apa yang dibuat hanyalah berkenaan diri sendiri tanpa melihat natijah kepada orang lain. Ini mungkin menjadi faktor membawa kepada penurunan kualiti graduan yang lahir, tidak kira dari bidang apa sekali pun.

Poin yang ketiga ini sebenarnya agak menyentuh dua poin di atas memandangkan sasaran dan matlamat hanyalah akan terbit hasil dari diri yang bersemangat waja serta berwawasan. Pokoknya, sebarang matlamat yang dibuat bergantung kepada sejauh mana wawasan seseorang itu. Sekiranya dia hanya bermotifkan kesenangan diri sendiri, maka sasarannya juga tidak jauh kemana. Tapi bagi orang yang betul-betul ingin memanfaatkan dirinya untuk diri, keluarga dan orang lain, maka sasaran yang ditetapkan pasti lebih jauh dan lebih menyeluruh serta meliputi banyak aspek kehidupan.

Rasanya setakat ini dulu coretan. Akan saya sambung pada kesempatan yang akan datang

wassalam...

Thursday, May 14, 2009

Kereta Mewah, Pegawai Polis dan Penunggang Skuter..

Assalamualaikum.

Segala puji bagiNya, pencipta sekalian alam dan pemilik mutlak akan alam ini. Selawat dan salam atas junjungan besar, Muhammad s.a.w., sebaik-baik ciptaanNya yang diutus sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam. Juga ke atas sahabatnya serta mereka yang menyusuli perjuangan menegakkan Islam.

Hari ini saya ingin menceritakan pegalaman yang terjadi kepada saya tak berapa lama dulu..berlaku pada 15 Mei 2009 pada jam sekitar 2.00 pagi - 3.40 pagi..

tepat jam 2.00 pagi, aku menunggang motosikalku keluar dari perkarangan parkir vista c setelah menghadiri sesi suai kenal 'Malay Cultural Week' dan tamatnya perbincangan bersama seorang sahabat di rumahnya. Hasrat di hati ingin terus pulang ke rumah di Jln Kelang Lama, tak mahu menumpang tidur di Vista. Tiba di pintu pagar vista, seorang pengawal keselamatan meminta agar aku memperlahankan kelajuanku. "Okay, no problem!!"

Keluar dari pagar vista, kulihat jalan dihadapanku lengang, tidak seperti petang tadi yang penuh dengan kenderaan hasil kepulangan masing-masing dari tempat kerja menuju ke rumah. Bisikku, "Kosong nih, bleh la laju sket..!!" Aku pun memulas tuil pemecut moto sehingga maksima. Moto bergerak laju melepasi bangunan IMU seterusnya melangkaui Vista Komanwel A. Setibanya di penanda tertulis 'Taman Esplanad', moto aku memperlahankan dirinya. "Habis minyak kot nih.." ngomel hatiku sendirian. Tika itu, teringat aku yang kali terakhir aku isi minyak ialah hari Jumaat lepas dan tidak kutambah walau setitik selepas itu. 'Worst-case scenario' pun jadi kenyataan. Moto aku mati enjin. "Haha..best nih, pagi2 buta menolak moto balik ke rumah.." Patah balik ke vista? Oh tidak sama sekali. "Jalan je.." Bermulalah aksi menolak 'kuda hijau' pulang ke rumah..

Kutolak dan terus tolak sampai ke persimpangan lampu isyarat pertama. Hati dah resah, takut-takut dianggap pencuri moto.. "Kalau kena tahan, tunjuk 'roadtax', lesen moto.." Tolak lagi. Tika itu, tak kurang dari 7 buah kereta memintas aku, termasuk dalam 'list' itu, beberapa buah teksi dan kebanyakan yang lain adalah kereta-kereta mewah. Kutolak lagi..sampai di persimpangan kedua. Penat, kurehat untuk ambil angin, menghilangkan lelah. Kucuba 'start' moto, kot2 nak hidup enjinnya. Tak berjaya. Kuteruskan lagi. Tiba-tiba kulihat sebuah kereta peronda polis bergerak di laluan bertentangan. Dalam hati ini, kuharap agar mereka berpatah balik. "At least boleh tumpang kete polis..hehe!!" MELESET. Haram tak patah balik pun. "Aku ni takdak gaya pencuri kot.." Jalan lagi..

Kutiba di persimpangan yang seterusnya. Masa ni, dah banyak kereta memotong aku yang lembab menolak motosikal. "Polis tu tak rasa aku pencuri, takkan la driver2 lain rasa aku ni pencuri. Haih, nape laa takde orang nak stop and tolong aku?" Layan diri jap..hehe,'stop' tepi jalan. duduk atas 'divider'. Tak sampai seminit aku teruskan misi menolak. Kulihat persimpangan yang keempat pun dah tak jauh sangat. Hati ni gumbira sebab lepas 'traffic light' tu, ada 'turun bukit', boleh la rehat-rehat atas moto. Tapi sebelum sampai ke situ, kena berusaha sungguh-sungguh untuk menolak menaiki bukit jugak.. "Takpelah, sket je lagi.. Tolak!! Tolak!!"

Tiba-tiba aku dengar satu bunyi dari belakang. Kutoleh dan kulihat sebuah skuter merah-hitam mendekat.

Dia(D): Habis minyak ke?? Meh saya tolak!!"
Aku(A): Ye..timakaseh!!

Dia pon menolak, aku ditolak.."ALHAMDULILLAH!!!"

A: Dari mana nih?
D: Balik serdang.

A: O..baru abih keje ke?
D: Taklah, baru abis 'main kuda'..hehe.. Ni dari mana pulak?
A: Bukit jalil.

bisikku sendirian, "Main kuda? apa tuh? Lantaklah, dia dah tolong aku, so jangan banyak soal"

D: Ni nak berhenti kat mana? Shell depan tu ye?
A: Ha..ye!!

Dia tolak sampai kat simpang ke Shell..

A: Timakaseh!!
D: Ape? Eh, takpe..

Dia pun berlalu meneruskan perjalan, kami berpisah..

Pengalaman nih buat aku berfikir sepanjang waktu aku mengisi petrol sampailah sebelum aku terlelap..

"KENAPA BUKAN PEMANDU KERETA MEWAH, PEMANDU TEKSI ATAU PEGAWAI POLIS YANG MEMBANTU AKU? KENAPA YANG DATANG, ADALAH SEORANG PENUNGGANG SKUTER YANG BARU BALIK DARI 'MAIN KUDA' DATANG MENAWARKAN BANTUAN??"

Hebatnya Allah yang senantiasa membantu hamba-hambaNya..

Ibu bapa - Apakah bakti anak selepas mereka meninggal.. [mymasjid]

Seseorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi adakah ia memadai atau terbatas ketika mereka masih hidup
sahaja? Di dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh atau memerintahkan agar seseorang anak berbakti atau membuat kebajikan terhadap kedua-dua ibu bapanya, dan ia tidak terbatas ketika mereka masih hidup. Terdapat beberapa amalan kebajikan yang boleh disumbangkan oleh seseorang anak kepada
kedua-dua ibu bapanya setelah meninggal dunia.


1. Menjelaskan hutang.

Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak. Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya. Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.


Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Semua dosa orang yang mati syahid diampuni kecuali hutangnya. (Riwayat Bukhari, Tirmizi, Nasai dan
Ibnu Majah).

Abu Said r.a. berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: Adakah mayat ini masih
menanggung hutang? Sahabat menjawab: ``Ya, Rasulullah''. Baginda bertanya: Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya? Jawab sahabat: ``Tidak.'' Lalu baginda bersabda: Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu. Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya. Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: ``Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya.'' Sesudah
itu baginda segera maju untukmenyembahyangkan jenazah sambil berkata
kepada Ali: Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api
neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat
kelak.


Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
Barangsiapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang
berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang.


2. Membayarkan zakat.

Seseorang yang meninggal dunia dan belum membayar zakat, maka wajib bagi warisnya menjelaskan zakat tersebut kerana zakat yang belum dibayar itu adalah hutang seseorang hamba kepada Allah s.w.t. Kewajipan membayarnya pula didahulukan sebelum menjelaskan hutang yang lain, memenuhi wasiat dan pembahagian harta pusaka.
Daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ``Ibu saya telah meninggal dunia dan
berhutang puasa selama satu bulan. Apakah saya perlu membayarkannya?''
Sabda Rasulullah s.a.w.: Sekiranya ibu kamu mempunyai hutang, adakah kamu
akan membayarkannya? Jawab lelaki tersebut: ``Ya.'' Baginda menjawab:
Hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar. (Riwayat Bukhari dan
Muslim)


3. Mengqadakan puasa.

Waris atau anak-anak disunatkan supaya mengqada puasa ibu bapanya
yang telah meninggal dunia, ia termasuk puasa Ramadan, puasa nazar dan puasa
kafarah.
Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
Barangsiapa yang mati sedangkan ia ada kewajipan berpuasa, maka walinya berpuasa
untuknya. (Muttafaq Alaih) Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya, bahawasanya
seorang wanita berkata: Ya Rasulullah, ibu saya telah meninggal dunia
sedangkan ia ada puasa nazar, adakah saya boleh berpuasa untuknya? Rasulullah
s.a.w. bersabda: Bagaimana pendapatmu sekiranya ibu kamu mempunyai hutang
dan kamu membayarkannya, tidakkah itu menunaikan hutangnya? Wanita itu
menjawab:
``Ya.'' Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah untuk ibumu.
(Riwayat
Bukhari dan Muslim)


4. Membayarkan fidyah puasa.

Fidyah puasa itu ialah memberi sedekah dalam kadar satu cupak makanan asasi penduduk sesebuah negara sama ada daripada beras, gandum atau seumpamanya. Di Selangor kadar satu cupak itu ialah 900 gram bersamaan RM1.10.
Mereka yang diwajibkan membayar fidyah puasa ialah:

l.Orang sakit yang tidak ada harapan akan sembuh penyakitnya.

2. Orang tua yang tidak upaya berpuasa atau menemui kesukaran untuk
berpuasa dengan sebab tuanya.

Bagi mereka yang tersebut di atas yang tidak berupaya untuk berpuasa, maka diwajibkan bagi mereka memberi makan seorang miskin untuk setiap hari yang ditinggalkan puasa dengan kadar satu cupak atau nilai yang bersamaan
dengannya.

Firman Allah s.w.t. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi
makan orang miskin. (Al-Baqarah : 184)


5. Mendoakan ibu bapa.

Doa anak yang soleh merupakan khazanah ibu bapa yang amat berharga. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seorang anak Adam meninggal dunia, maka putuslah segala amalannya
melainkan tiga perkara; sedekah jariah atau ilmu yang bermanfaat atau anak yang soleh dan berdoa untuknya.


6. Menghubungkan tali silaturahim.

Menghubungkan tali silaturahim adalah termasuk dalam perkara yang amat penting dan ia merupakan salah satu tuntutan syariat yang harus
mendapat perhatian utama daripada kaum Muslimin. Mengeratkan hubungan silaturahim dan berbuat baik dengan kaum kerabat dan sahabat ibu bapa adalah sebahagian daripada cara berbuat amal untuk kedua-duanya yang telah meninggal
dunia.

Abdullah bin Umar r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya sebaik-baik kebajikan adalah seseorang itu menghubungkan silaturahim dengan orang yang dikasihi bapanya. (Riwayat Muslim) Di
dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin Rabi`ah as-Sa`idi, kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w., datanglah seorang lelaki daripada Bani Salamah, ia bertanya kepada Rasulullah, ``Ya Rasulullah, masih adakah kebaikan (kewajipan) yang harus saya lakukan untuk berbakti kepada kedua-dua ibu bapaku setelah kedua-duanya meninggal dunia.'' Baginda
menjawab: Ya ada, iaitu sembahyang atas(jenazah) kedua-duanya (maksudnya mendoakan kedua-duanya) dan memohon keampunan bagi kedua-duanya, memenuhi segala pesanannya (menyempurnakan janji mereka) setelah mereka meninggal dunia dan menghubungkan ikatan silaturahim yang tidak sampai serta
menghormati para sahabat mereka. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)


7. Menziarahi kubur.

Menziarahi kubur ibu bapa adalah sunat muakad dan besar ganjaran pahalanya. Adalah lebih baik jika di-ziarahi pada setiap hari Jumaat dan
dibacakan surah Yasin untuknya. Kelebihan mengenang ibu bapa dengan berdoa dan
menziarahi kuburnya membawa kebajikan yang bukan sahaja kepada anak- anak yang soleh tetapi juga kepada anak yang derhaka. Dalam sebuah hadis diterangkan: Anak derhaka yang kematian kedua-dua ibu bapanya kemudian ia (menyesal dan bertaubat) dan sentiasa berdoa untuk kedua-duanya, nescaya ia diampuni Allah dan dianggap sebagai anak yang taat.


8. Menyelesaikan harta pusaka mengikut faraid.

Pembahagian harta pusaka hendaklah dibuat setelah dijelaskan segala hutang si mati sama ada hutang dengan Allah mahupun sesama manusia, wasiat dan segala perbelanjaan pengurusan jenazah.

Firman Allah s.w.t. Allah telah memerintahkan pembahagian harta
pusaka terhadap anak-anak kamu iaitu bahagian seorang lelaki sama dengan
bahagian dua orang anak perempuan. (An-Nisa :11) 9. Memohon keampunan bagi
dosanya.
Perkara yang paling mudah dan dapat dikerjakan oleh semua orang pada bila-bila masa ialah berdoa serta memohon keampunan bagi dosa kedua-
dua ibu bapanya sama ada yang masih hidup lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia, seperti mana doa yang dianjurkan di dalam al-Quran Wahai Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan juga
kepada semua orang mukmin pada hari terjadinya hisab. (Ibrahim : 41)

Firman Allah s.w.t. Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua- duanya
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka), ``Wahai Tuhanku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya dengan memelihara dan mendidikku
semasa kecil. (Al-Isra: 24)


10. Membuatkan haji untuknya.

Anak-anak digalakkan untuk membuatkan haji bagi kedua-dua ibu bapanya yang telah meninggal dunia yang belum sempat menunaikan haji. Ia boleh dilakukan dengan membuat sendiri (bagi yang telah menunaikan haji untuk diri
sendiri) atau dengan cara mengupahkannya kepada orang lain. Walau bagaimanapun sekiranya kedua-dua ibu bapa telah bernazar untuk
menunaikan haji tetapi tidak berkesempatan kerana telah meninggal dunia, maka wajib bagi waris atau anak melakukan haji untuknya dengan
segala perbelanjaan adalah daripada harta peninggalan si mati.

Diterima daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa seorang wanita dari Juhainah datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: ``Ibuku telah bernazar untuk
menunaikan haji tetapi ia meninggal dunia sebelum menunaikannya. Apakah saya akan melakukan di atas namanya?'' Jawab Baginda: Ya, berhajilah menggantikannya. Bagaimana pendapat kamu, jika berhutang apakah kamu akan membayarkannya? Oleh itu, bayarlah hutang kepada Allah kerana
hutang kepada Allah adalah lebih utama dibayar.

Sebagai kesimpulannya, marilah sama-sama kita menghayati semula peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah
kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini? Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan
mendapat keredhaan Allah s.w.t. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang
diredhai Allah. �
Dipetik dari:NURHELMI IKHSAN, Penolong Pegawai Hal Ehwal
Islam, Jabatan
Mufti Selangor.

Saturday, May 9, 2009

Ketinggian Ilmu dan Kemuliaan Pemiliknya

assalamualaikum

setinggi-tinggi pujian yang selayaknya bagi Allah, Pemilik ilmu dan maklumat alami, selawat dan salam buat Muhammad s.a.w., kekasih Allah, manusia terbaik ciptaanNya yang dihantar sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.

dalam beberapa bulan ini tersebar meluas 'krisis' kepimpinan dalam organisasi sahsiah dalam negara. terbaru melibatkan parti islam semalaysia (PAS). bagi diri ini yang sentiasa mengambil pusing akan perkembangan semasa dalam negara, terfikir apakah diri ini mempunyai daya untuk memahami akan pergolakan dan perbalahan yang senantiasa tergerak oleh angin-angin dalam diri manusia.

bukan maksud untuk memburukkan atau melabel-label, tapi lebih pada hati ini menyiapkan diri dengan kefahaman ilmu dan kepatuhan dalam mempraktikkan ilmu itu sendiri. selemah-lemah diri ini, saya memerhatikan cermin keburukan manusiawi yang secara langsung memalitkan perkara itu pada diri sendiri. saya melihat betapa manusia gemar bertelagah atas alasan memperjuangkan ilmu, mempertahankan kemuliaan ulama' serta memasti survival golongan cerdik pandai.

namun, dalam pertelagahan itu seringkali kita terlupa yang perbezaan pendapat itu tidak seharusnya menyebabkan perpecahan yang terlampau. bahkan jemaah-jemaah islam, yang secara zahirnya mendakwa bergerak atas dasar penyatuan keimanan kepada Allah, mereka ini jugalah yang mempromosi perpecahan. sehingga ada usaha-usaha 'dalaman' yang dibuat semata-mata untuk memperoleh populariti dan menjatuhkan orang lain. tidak dinafikan diri ini turut terikut-ikut bahkan tergolong dalam golongan tersebut. namun kini diri ini tidak dapat melihat sebarang kebaikan yang nyata dalam perbuatan seperti itu. diri ini menganggap bahawa tidak usah dilihat akan "keburukan orang lain dan kebaikan diri sendiri" bahkan perlu pada kita melihat pada "keburukan diri sendiri dan jasa bakti orang lain".

diri ini yakin, sekiranya ini yang diamalkan, maka sungguh diri pasti dengan yakin, tidak akan datang pragmatisma dan skeptisma dalam gerakan-gerakan islamiyah. dengan izinNya, pasti gerakan islam akan dipandang mulia semula. pasti usaha ke arah kembalinya kehebatan islam terbina semula.

namun begitu, tidak juga diri ini menyatakan yang menyertai/bersama-sama gerakan islami itu satu pembaziran masa, pemupuk pertelingkahan dsb. bahkan diri ini akan terus menggalakkan 'association' ummati bersama jemaah-jemaah/kumpulan-kumpulan ini bagi memperjuangkan agama. tidaklah kita termampu untuk menggerakkan agama seorang diri. cuma sedarlah dan ingatlah perkara-perkara yang sepatutnya..

ayuh rakan-rakan, kita semua padukan tenaga ke arah itu. semaikan diri dengan kehebatan dan kedaulatan islam. semoga Allah bantu diri ini dan semua pencinta islam, percaya dan yakinlah kita kan berjaya. insyaAllah..

namun diri ini tidak ingin mengupas berkenaan itu tapi lebih kepada isu ilmu itu sendiri serta keadaan pemiliknya. pada tulisan kali ini, diri tak sempat untuk membuat 'dose-checking' tentang dalil-dalil alQuran dan alHadith terlebih dahulu. jadi bagi mengelakkan 'unnecessary fight', rasanya tepat bagi diri ini tidak meletakkannya secara 'direct'.

pernah diri ini terdengar tentang betapa tingginya darjat ilmu itu. begitu juga dengan si pemiliknya. hinggakan ada juga terdengar dan terbaca akan ganjaran bagi mereka yang cuba mendampingi ilmu. cukup tinggi hingga diri ini terkedu mengenangkan keadaan diri yang dhaif. cukup banyak dinukilkan dalam alKitab dan alHadith.

persoalannya, apakah ilmu yang dimaksudkan? apakah pengkelasannya? adakah ilmu-ilmu itu hanya tertumpu pada ilmu agama semata? adakah ilmu itu termasuk juga ilmu yang kubelajar ini? ilmu perubatan? ilmu perniagaan dan keusahawanan? ilmu kepimpinan dan pengurusan? rasanya persoalan ini sudah terjelas akan kebanyakan mereka di Malaysia yang rata-rata faham bahawa kesemua itulah yang dimaksudkan ilmu.

persoalan seterusnya yang timbul, kehendak dan sikap kita terhadap ilmu itu sendiri. adakah kita bersifat adil terhadap ilmu dan pengajarnya. terdetik akan pesan ibu, nenek dan guru-guru akan kepentingan hormat, taat dan patuh kepada pendidik-pendidik kita tidak kiralah sama ada ia datang dari orang yang lebih tua atau muda, orang lebih baik atau lebih buruk, orang yang lebih kaya atau miskin, mahupun ia datang dari makhluk-makhluk lain seperti kucing, burung atau semut. ketika ini terdetik pada diri ini tentang penceritaan kisah Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir a.s.. pengajaran yang diperoleh daripada penceritaan kisah itu ialah bagaimana keharusan seorang pelajar mentaati gurunya. diri ini sedih apabila manusia kini lebih gemar memilih untuk mengambil ilmu HANYA DARI ORANG YANG DIKENALI DAN DISUKAI. pedih diri ini mengenangkan kemarahan dan bengangnya seorang guru yang menghentam sikap diri ini suatu masa dulu yang berpendirian seperti itu. pabila diteliti dan diubah apa yang diri ini rasakan perlu, maka apa yang diri ini peroleh ialah suatu kebajikan dan kebaikan yang teramat sangat.

sebenarnya diri ini berpendapat, perlu bagi kita buka minda, lapangkan dada dan hisablah diri. tika itu akan kita sedari alangkah ruginya kita kerana tidak berpeluang menuntut ilmu yang perlu, mengambil manfaat dari ramai lagi ilmuan walau sedikit. semoga Allah ampuni diri ini dan mengurniakan peluang agar dapat diri ini memperbaikinya pada masa hadapan.

persoalan seterusnya yang ingin diri ini terjah ialah bagaimana sikap kita terhadap ilmu yang diperoleh. adakah kita mengambilnya lalu menyimpannya dalam buku-buku nota, atau menyimpannya dalam periuk diri kita sendiri tanpa memberi peluang kepada orang lain untuk menjamah hasilnya walaupun sedikit atau bersikap seperti awan yang berisi. pabila penuh dengan air, maka diturunkan air itu mencurah dirasai juga oleh bumi. tepuk dada, pedihlah ia, tepuk dahi merahlah ia. maka apa yang perlu ditepuk? atau apa yang perlu ditampar? tanyalah diri sendiri dan bertindaklah mengikut pertimbangan yang terbaik.

diri ini akhiri tulisan dengan permohonan maaf atas kekurangan diri dan kekurangan yang zahir pada tulisan ini akibat kekurangan diri sendiri. semoga apa yang baik itu diperluas-luaskan manfaatnya dan kekurangan itu terjadi akan ia suatu pengajaran agar terbit kebaikan darinya

wassalam..