Thursday, June 11, 2009

kehilangan

Dalam kehangatan dan keseronokan zaman remaja dan pra-dewasa, tika itulah aku merasa kehilangan sahabat, kawan dan kenalan. Yang rapat atau sekadar rakan. Yang erat atau yang tidak. Satu persatu pergi meninggalkan daku dan dunia yang fana ini.

Sepanjang tahun 2008 sahaja tak kurang dari tiga orang kenalanku dijemput menghadap Sang Pencipta. Tahun ini (2009), setakat ini sudah dua orang yang kukenali pergi buat selamanya. Seorang daripadanya adalah Allahyarham al-Hafiz Dr Muhammad Ammar bin Zulkifli yang akan mengambil peperiksaan akhir Tahun Tiga Jurusan Perubatan di Universiti Kaherah, Mesir. Sungguhpun aku tidak rapat dengannya, namun beliau adalah sebahagian daripada keluarga besar pelajar-pelajar INTEC sesi 2006 yang melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah. Keluarga yang amat kusayang, sanjungi dan hormati.

Dalam kebahagiaan dunia yang sementara ini juga, aku terasa betapa kehilangan mereka yang soleh itu cukup menusuk jiwa. Manakan tidak, merekalah pembimbing kita, penawar kedukaan, penerang kegelapan, penyeri kehidupan. Dengan ketinggian ilmu, ditambah dengan hafalan Quran serta kemuliaan akhlak, merekalah golongan yang paling mudah didampingi. Sedihnya jiwa ini mengenangkan mereka yang telah pergi. Mereka pergi dan tidak akan kembali.

Kuharap agar mereka ditempatkan dari kalangan orang-orang Soleh dan beroleh kerehatan sementara menunggu nikmat yang berkekalan. Dan diriku ini perlu teruskan kehidupan, mencontohi kebaikan serta meningkatkan amal kebajikan, perlu kepada usaha yang berpanjangan bagi menemui Allah dalam keadaan jiwa yang berada dalam ketenangan.

No comments: