Assalamualaikum..
Ramai yang tidak gemar sembang-sembang pasal mati. Lagi-lagi kalau diri sendiri yang mati. Tapi mati itu satu kepastian. Nak atau tak, tetap akan datang. Lambat atau cepat, yang pasti detik itu menepati Qadar Allah.
Adakah kita orang yang ternanti-nanti saat kematian? Atau kita orang yang bersedia menghadapinya? Atau mungkinkah kita ini tergolong dalam mereka yang tidak mahu bahkan tidak langsung mengendahkan saat putusnya nyawa?
Mati itu datang boleh jadi bila-bila masa saja. Apa kita hendak mati yang baik atau mati yang menjadi punca kepada kehinaan yang berpanjangan di alam Akhirat kelak? Teringat hadith ke-4 dalam Matan Arba'in susunan Imam An-Nawawi,
"Dari Abu Abdul-Rahman, Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami, sedangkan baginda seorang yang benar dan dibenarkan kata-katanya, sabdanya: "Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 har berupa setitik air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian seketul daging seperti yang demikian itu juga, iaitu 40 hari. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara: rezekinya, ajalnya, amalannya, celaka dan bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Dan sesungguhnya seseorang kamu tetap akan beramal denga amalan ahli neraka sehinggalah di antaranya dengan neraka cuma sehasta sahaja. Tiba-tiba dia telah didahului oleh tulisannya sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga, maka akhirnya masuklah dia ke dalam syurga itu"
Riwayat Imam Bukhary & Imam Muslim
Begitu mudah nasib manusia itu terubah. Mungkin ada yang menyangka andai dirinya banyak melakukan ibadah dan amal yang soleh, pasti beroleh balasan yang baik. Dan bagi yang terus menerus dalam kekufuran pula, disangka dirinya tak punya harapan beroleh kebahagiaan dari Rabb-nya, namun nasibnya juga berubah - beroleh syurga yang tidak terbanding nilai harganya dengan seluruh kebaikan yang ada di atas muka bumi ini.
Ingat mati itu satu bentuk peringatan buat diri juga, agar tak terus lalai serta leka dengan kesenangan dan tipu daya dunia. Ingat mati juga sebenarnya mampu melahirkan ketenangan dalam jiwa.
Muhasabah diri itu juga merupakan cerminan kepada hati. Di samping itu ketenangan juga boleh diperoleh melalui muhasabah amalan-amalan lalu.
Marilah sama-sama beringat, agar tidak kita lalai walaupun secara zahirnya nampak seperti seorang hamba yang soleh.
Marilah sama-sama kita periksa diri, dan perbaikinya, agar kita tidak lari maksud dan tujuan hidup di dunia.
Assalamualaikum..
No comments:
Post a Comment