Assalamualaikum..
Semalam, semasa mencari-cari video 'instrumental music', terjumpa dengan satu video yang menarik perhatian saya. Pernah melihat video ini suatu masa dahulu, tapi bila menontonnya kali ini, terdetik suatu rasa di hati.
Stereotaip pemikiran kebanyakan kita adalah apa-apa program dan perkara yang bersifat Islamik sama ada di televisyen, di radio, di masjid, dan di mana sahaja ia dianjurkan adalah MEMBOSANKAN. Sehinggakan ada antara penganjur program ini seringkali menggaru kepala, memikirkan cara untuk meningkatkan 'rating' program yang dianjurkannya.
Memandangkan video di atas menunjukkan yang 'more people choose to use the stairs when it is fun to do it', apakah konsep 'fun theory' ini tidak boleh diguna pakai kepada penganjuran program-program Islamik? Apakah harus segalanya dalam bentuk ceramah kaku di dewan solat masjid atau di dewan kuliah yang tak berapa 'cool'? Sudah tentu hasilnya akan menjadi kurang memberansangkan.
Mungkin ada baiknya andaikata segala stigma dan persepsi ini dibuang, kan? Tapi bagaimana caranya? Itu memerlukan kreativiti dan inovasi kita semua, penganjur, fasilitator dan peserta. Semuanya harus memainkan peranan masing-masing. Di sini, saya selitkan beberapa contoh yang rasanya agak relevan dengan tajuk artikel kali ini.
BERPAKAIAN MENUTUP AURAT
Mungkin ramai yang setuju, menutup aurat dalam ertikata berpakaian adalah membebankan, lebih-lebih lagi dengan keadaan Malaysia yang beriklim Khatulistiwa, panas dan lembab sepanjang tahun. Amatlah payah kiranya nak di'bungkus' diri sendiri daripada atas hinggalah ke bawah. Tapi apa yang berlaku apabila Wardina Safiyah mengenakan gaya pemakaian tudung yang sedikit berbeza suatu ketika dulu?
Berduyun-duyun manusia meniru gayanya, semata-mata kerana rasa seronok dan keinginan untuk mencubanya. Saya tidak dapat menjelaskan sama ada dengan memakai tudung ala-ala Wardina ini adalah lebih mudah atau tidak. Ini kerana saya sendiri tidak memakai tudung, kerana saya seorang lelaki. Sepanjang pemerhatian saya, kaedah pemakaian tudung Wardina tu sangat-sangat berbeza dan lebih membebankan jika dibandingkan dengan tatacara pemakaian tudung bawal yang biasa digunakan di Malaysia.
Kemudian ada pula suara-suara dari golongan Islamik yang menegaskan, "Depa ni pakai tudung sebab nak ikut fesyen ja, mana boleh lagu tu." Saya minta anda rujuk artikel daripada laman Ustaz Zaharuddin. Bacalah sampai habis. InsyaAllah anda faham apa yang ingin saya sampaikan. Biarlah niat mereka hanya sekadar mengikut fesyen, tapi setidak-tidaknya mereka sudah pun selangkah dalam mendekati perintah Allah dan menggapai redhaNya. Syabas dan tahnia kepada pereka fesyen Islam ini.
Dan kita pun sudah biasa melihat iklan-iklan dan promosi di media massa mengenai fesyen dan busana muslimah. Kini, keseronokan dan keterujaan itu makin bertambah. Memang tidak dinafikan, masih terdapat kekurangan dan kelemahan di sana sini. Tapi marilah kita melihatnya 'from the bright side of it'. Sekurang-kurangnya kita dapat melihat, minat manusia untuk menuju ke arah yang lebih baik itu semakin bertambah. Alhamdulillah.. Cuma, mungkin kita boleh membantu dalam memperbaiki mutu dan kualiti fesyen ini agar dapat menjadi lebih baik pada masa hadapan.
HIBURAN DAN KONSERT
Rasanya topik ini tidak perlu dihurai lagi. Kita semua sedia maklum akan alternatif yang diberi oleh artis-artis nasyid. Saya melihat tindakan penggiat seni nasyid ini mempelbagaikan genre muzik mereka sebagai satu usaha dalam menarik manusia kepada Islam. Biarlah muzik mereka bernada rancak, terhias dengan lirik-lirik cinta semata. Sekurang-kurangnya mereka berusaha menarik minat orang ramai kepada mendengar nasyid, yang terbiasa dengan persepsi lagu-lagu mengajak kepada Tuhan yang bosan.
Seingat saya, kumpulan In-Team lah peneraju dalam melebarkan sayap lagu-lagu cinta pada awal-awal pembabitan mereka. Hinggakan mereka ini mempunyai peminat yang tersendiri, yang boleh saya labelkan sebagai 'fanatik'. Semua album In-Team dimiliki dan dinikmati. Kerana banyaknya mesej cinta dan 'jiwang' diselitkan dalam bait-bait lagu mereka. Rabbani pula, ada peminatnya yang tersendiri, termasuk saya. Ini kerana banyak lagu mereka yang rancak dan meningkatkan semangat. Selain itu, banyak juga lagu melankolik yang meruntun jiwa menginsafi diri. Di samping itu, terdapat banyak lagi kumpulan-kumpulan nasyid yang mula menghiasi persada seni di Malaysia.
Cumanya, apabila terdapat terlalu banyak lagu yang liriknya amat sarat dengan mesej cinta hingga gagal menyampaikan maksud yang lebih baik, iaitu menghampiri Allah maka di situ mungkin timbul masalah. Ramai dari golongan Islamik yang mempersoalkan kewajaran perkara ini berlaku. Saya akui bahawa saya amat kritikal dengan perkara sebegini, tapi perlu kepada kita semua melihatnya dari sudut positif juga.
Apa yang saya perasan, In-Team sejak kebelakangan ini sudah tidak lagi memenuhkan album mereka dengan lagu-lagu jiwang karat. Sebaliknya banyak menumpukan kepada aspek ketuhanan dan kehambaan kepada Allah. Mungkin juga ini sudah termasuk dalam strategi dakwah kumpulan nasyid yang ingin mendekati masyarakat dengan menimbulkan keseronokan dan daya tarikan yang berkesan, memiliki kumpulan peminat sendiri, dan kemudiannya menjadi satu wadah kepada penyampaian mesej Islam kepada umum dengan cara yang paling sesuai dengan diri mereka. Syabas dan tahniah kepada mereka.
Mungkin setakat ini dulu, insyaAllah ada kelapangan saya akan ulas lebih lanjut.
Wassalam..
No comments:
Post a Comment