Saturday, May 23, 2009

masanya membuat keputusan

Assalamualaikum.

Setinggi-tinggi pujian yang selayaknya bagi Allah, Maha Melihat lagi Maha Mengetahui. Selawat dan salam ke atas rasul junjungan, Muhammad s.a.w., sebaik-baik ciptaanNya. Juga ke atas ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya serta mereka yang taat mengikuti sunnah baginda.

Hari ini saya teringin untuk berkongsi pendapat dan pandangan mengenai keharusan, bahkan tidak keterlaluan sekiranya saya katakan, kewajipan bagi kita untuk membuat keputusan dalam banyak perkara. Hal ini saya rasa perlu memandangkan saya menganggap diri ini sudah berada pada suatu tahap di mana 'decision-making' itu sudah perlu menjadi rutin harian kita semua. Apa yang saya maksudkan adalah membuat keputusan atas perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan yang rapi serta kefahaman yang ampuh terhadap kepertluan dan keharusan bagi kita membuat keputusan. Antaranya, perkara yang melibatkan tujuan hidup kita. Perlu dijelaskan maksud dan tujuan kita hidup atas muka bumi agar kita dapat membuat pilihan yang paling tepat.

Sebenarnya apa yang saya ingin kongsikan pada kali ini adalah berkenaan kepentingan kita memahami setiap tindakan yang kita lakukan dan seterusnya berusaha memperbaiki apa-apa kelemahan yang terhasil natijah tindakan kita tersebut. Kebelakangan ini begitu banyak sekali isu-isu tentang professionalisma, integriti, dan lain-lain yang semaksud dengannya. Persoalan yang timbul dalam benak pemikiran saya ialah mengapa isu-isu ini semakin banyak dibangkitkan dalam arus media massa hari ini. Pernah saya terbaca mengenai 'attitude' atau sikap pengamal perubatan (doktor, doktor gigi, pegawai farmasi, jururawat dsb) yang tidak memuaskan, atau lebih baik sekiranya saya gunakan terma 'tidak profesional'. Mengapa keadaan ini terjadi? Apakah produk-produk universiti hari ini sudah tidak mencapai sasaran yang dikehendaki oleh masyarakat umum? Hari ini saya mengajak diri sendiri serta pembaca budiman untuk sama-sama mengupas perkara ini. Memandangkan saya tuan punya blog, jadi sememangnya saya yang akan memberi segala poin-poin yang dirasakan relevan dengan perbicangan. Walaupun agak 'one-sided' tapi saya rasakan pandangan saya ini juga berdasarkan perkongsian dengan banyak pihak termasuk 'senior lecturers', 'consultant', serta warga emas.

Pertama, pada hemat saya terjadinya perkara ini adalah disebabkan kurangnya minat dan 'passion' terhadap kerjaya yang ditempuh. Perkara yang sama terjadi pada kebanyakan graduan-graduan perubatan dan boleh dikatakan agak 'common'. Kedua, kurangnya penekanan dan penerapan nilai-nilai dan aspek rohani, moral dan etika kepada para penuntut. Justeru, terhasil doktor-doktor yang merokok, walhal merekalah golongan yang sepatutnya menjadi contoh akan tabiat tidak merokok. Ketiga, kurangnya aspek sasaran dan matlamat untuk dicapai pada masa hadapan.

Poin saya yang pertama, mengenai kurangnya minat terhadap bidang yang diceburi. Perkara ini sebenarnya dan sememangnya biasa ditemui pada masa kini. Bahkan agak ramai yang kurang meminati bidang perubatan tapi terpaksa atas alasan keluarga dan lain-lain. Kalau dulu, profesion yang paling popular dikalangan masyarakat adalah guru dan pegawai kerajaan. Namun, kini paradigma sudah berubah. Masyarakat mula melihat kerjaya doktor sebagai suatu lambang kebanggaan. Hingga apabila seseorang yang memperoleh keputusan SPM yang baik, maka menjadi 'trend' masa kini untuk memujuk kemudiannya memaksa si fulan tersebut untuk menceburi bidang perubatan. Bila ditanya mengapa? Jawapan yang tidak asing sekali adalah "duit". Kemudian barulah datang sebab-sebab lain seperti 'boleh tolong orang susah', 'dapat bangunkan ummat' dan macam-macam lagi. Mengapa ini terjadi? Adakah dunia kini hanya berorientasikan material semata-mata? Kalau ya, maka pasti suatu hari nanti tidak ada kerjaya pun yang akan dapat memuaskan hati masyarakat.

Poin kedua, kurangnya nilai-nilai murni yang diterapkan. Tidak dinafikan, apabila disebut mengenai perkara ini saya rasa ingin mengkritik sistem pendidikan yang diamalkan di Malaysia. Bukan mengkritik sepenuhnya tetapi apabila keadaan yang kurang baik menjadi semakin kritikal, maka perlu kepada teguran, komen dan kritikan agar penambahbaikan dapat dibuat. Benar, peperiksaan itu penting bagi membukti penguasaan teori pada diri seseorang pelajar, namun ia perlu juga disusuli dengan peningkatan kendiri yang lazimnya diperoleh melalui latihan luaran dan tidak bersifat 'theoretical'. Namun, apa yang saya dapati, stigma masyarakat menyebabkan perkara ini tidak diambil peduli lantas lahirlah generasi yang ulat buku tapi buta hati. Golongan ini berpendapat apa yang dibuat hanyalah berkenaan diri sendiri tanpa melihat natijah kepada orang lain. Ini mungkin menjadi faktor membawa kepada penurunan kualiti graduan yang lahir, tidak kira dari bidang apa sekali pun.

Poin yang ketiga ini sebenarnya agak menyentuh dua poin di atas memandangkan sasaran dan matlamat hanyalah akan terbit hasil dari diri yang bersemangat waja serta berwawasan. Pokoknya, sebarang matlamat yang dibuat bergantung kepada sejauh mana wawasan seseorang itu. Sekiranya dia hanya bermotifkan kesenangan diri sendiri, maka sasarannya juga tidak jauh kemana. Tapi bagi orang yang betul-betul ingin memanfaatkan dirinya untuk diri, keluarga dan orang lain, maka sasaran yang ditetapkan pasti lebih jauh dan lebih menyeluruh serta meliputi banyak aspek kehidupan.

Rasanya setakat ini dulu coretan. Akan saya sambung pada kesempatan yang akan datang

wassalam...

No comments: