Tuesday, September 22, 2009

bila hati teringin berkahwin..

Salam sejahtera..

Kebelakangan ni, makin ramai yang mengiklankan pengumuman pertunangan & pernikahan. Ada jugak yang dah selamat diijabkabulkan. Memang ada sedikit perasaan 'envy' dengan pengumuman sedemikian. Tapi dalam keghairahan hati ingin menikahi seorang insan yang bergelar wanita ini, muncul pelbagai detusan hati, cetusan pemikiran. Ada yang melonjakkan semangat, ada yang meneutralkan azam untuk berkahwin. Dan ia terus menerus berlaku, tiada penghujung buat masa sekarang.

Melihatkan statistik pernikahan & penceraian di kalangan umat muslimin di negara ini, amatlah menyentap jiwa. Resah bila memikirkan risiko perkara itu terjadi atas diri sendiri. Bila dibaca tentang permasalahan rumah tangga, mereka katakan tiada kesefahaman lagi antara sesama mereka. Bingit jiwa. Bagaimana kesefahaman yang mendorong mereka melafazkan rasa cinta suatu masa dulu hilang begitu sahaja? Mengapa kesefahaman yang dicapai suatu masa, mendorong si lelaki melafazkan penerimaan akad pernikahan ghaib begitu sahaja? Kadang-kadang apabila mereka yang 'islami' mengatakan cinta yang hakiki terbina atas dasar redha Allah, timbul rasa hairan bila bukan muslim, ramai yang bahagia dan gembira dengan keadaan rumah tangga mereka yang berpanjangan hingga ke anak cucu, bahkan cicit dan piut. Apakah pernikahan mereka bersandarkan ketaatan pada Allah, penyebab kebahagiaan berpanjangan? Mungkin sekali 'tidak' jawapannya. Pun begitu, tidak kunafikan, pentingnya kepatuhan pada syariat Allah itu dalam penentuan kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Cuma kehairanan yang timbul mendesak jiwa mencari ubat menghilangkan resah di hati tatkala mahu mencari teman penyeri kehidupan. Kerana ku tak rela bercerai berai, membenci dan bermusuhan.

Kemudian hati menggamit perihal kemampuan diri. 'Financially', 'Emotionally' ,'Spiritually', adakah ku dah bersedia? Oh, mungkin ya dan mungkin tidak. Ini pun seringkali berubah-ubah. Bila 'angin panas' berlalu, semangat pun meningkat. Bila 'hujan' yang turun, diri pun turut sama mengecut. Apakah mungkin kubahagiakan seorang wanita yang bakal mengorbankan kemesraan di samping ahli keluarga kandung tercinta demi melayan kerenah SEORANG lelaki malas yang baru dikenali beberapa ketika? Mampukah kupenuhi segala keperluan wajib wanita itu disamping melayan kehendaknya yang pelbagai? Itu baru si isteri, belum lagi mertua dan ipar-duai. Kemudian, mampukah kuimbangi antara isteri, keluarga kandungku dan juga keluarga sang isteri? Oh, rumit. Belum masuk perihal anak-anak dan tugasan kerja serta keperluan sebagai seorang hamba di bumi ini.

Benar, soal agama adalah yang terbaik dalam memilih isteri. Tapi sebagai seorang insan biasa, masih kuinginkan wanita yang elok untuk kutatap, elok susur galur keturunannya serta baik perihal hartanya. Akan tetapi, adakah diriku ini cukup elok untuk menjadi seorang suami, baik perihal wajah dan 'physical appearance' diriku, keturunanku, harta kekayaanku serta agamaku? Luluskah diriku ini sekiranya ditapis dan dinilai oleh seorang gadis, serta sanak saudaranya? Pun menjadi punca bertambahnya keresahan.

Mungkin juga kutangguh segala rasa ini. Pendam mahupun buang. Sibukkan diri dengan akademik dan aktiviti. Hm..

"Kita tunggu dan lihat sahaja apa yang berlaku kelak"

Wassalam..

4 comments:

Mardiana Azhar said...

rahimi..ooo..rahimi.. :)

Nemo Nobody said...

Wow, attractive title, a well-written article. Good job.

bigGreD said...

hoho..tQ2..

CONNIE said...

yup, nicely written.