Thursday, January 7, 2010

agenda kita

Assalamualaikum..

Seperti yang dijanjikan, kali ini saya akan menyambung ulasan peribadi mengenai isu yang sedang panas di media massa yang cukup bijak menjadikan sesuatu yang 'biasa-biasa' kepada 'sensasi giler'. Masakan tidak. Lihat sahaja betapa banyak sensasi rumah tangga yang telah dicanang-canang hingga akhirnya membawa kepada perceraian, walhal jika tidak diperbesar-besarkan, pasti akan membawa ke arah pembaikan dan pemulihan, bahkan menjadi suatu pemangkin kepada keutuhan institusi kekeluargaan. Harapnya isu yang panas sekarang ini tidaklah menjadi terlalu sensasi hingga membawa kepada lahirnya kejadian-kejadian yang tidak diingini. Oh, tidak. Sudah berlaku rupanya. Manusia bodoh membakar gereja. Walhal jelas pada prinsip perang yang dianjurkan oleh Rasulullah sendiri, tidak dibolehkan membunuh mereka yang berlindung di rumah-rumah ibadat, tidak kiralah agama apa sekalipun. Apatah lagi membakar, dan meruntuhkan rumah ibadat tersebut. Dan harus diingat, kita tidak berada dalam situasi peperangan.

Daripada ibn Abbas r.a.; katanya

"Apabila Rasullah menghantar pasukan tentera, maka baginda bersabda, "Keluarlah kamu ke medan jihad dengan nama Allah, perangilah di jalan Allah sesiapa yang kafir dengan Allah. Janganlah kamu melanggari perjanjian, jangan mengkhianati harta rampasan perang, jangan kamu seksa mayat, jangan kamu bunuh kanak-kanak dan ahli rumah ibadat."
(Asy-Syaukani; diambil dari laman web Jab Mufti Negeri Selangor)

Mengenai kewajaran penggunaan nama Allah oleh pihak gereja Katolik, saya telah meletakkan pandangan saya pada entri yang lalu. Jelas tampak perbezaan antara perkataan 'Allah' dan 'God'. Pun begitu, saya bersetuju dan sependapat bahawa Allah adalah hak kita bersama. Bukankah yang menciptakan kita itu adalah Allah, tak kiralah sama ada dia muslim mahupun kafir. Di situ ada logik dan rasionalnya juga andaikata kita menidakkan permohonan mereka menggunakan kalimah Allah.

Buruk perangai
Tapi kali ini saya tidak mahu menuding jari dan menyalahkan pihak luar (orang bukan Islam), sebaliknya menuding jari dan menjegilkan biji mata kepada orang dalam (orang Islam) itu sendiri. Bila isu ini dibangkitkan, kalau tak silap saya sekitar 2007 atau 2008, ramai yang lega kerana mahkamah membuat keputusan menolak permohonan mereka. Tapi kita mengambil jalan mudah, mendiamkan diri dan tiada tindakan susulan dibuat; atau mungkin tidak agresif tindakan tersebut, andaikata ia dilaksanakan. Kita bersorak gembira, bersuka ria di malam hari, hadir di majlis anugerah itu dan ini, di konsert itu dan ini. Lalai dan leka. Merata-rata kita pergi, tapi kita lupa akan keperluan membuat 'follow-up' bagi menangani permasalahan ini dengan cara yang lebih efektif dan proaktif. Tapi tidak mereka, terus berusaha dan berkerja keras bagi mendapatkan juga 'hak' mereka. Bila permohonan tersebut diluluskan oleh mahkamah tinggi, kita mula 'gabra', lantas mula merancang gerak kerja reaktif dan destruktif. Amatlah buruk perangai kita, umat Islam.

Ada agenda sendiri
Ada yang menuduh golongan gereja ini mempunyai agenda tertentu apabila begitu bersungguh-sungguh menuntut kebenaran menggantikan kalimah God/Tuhan dengan Allah dalam penerbitan mereka. Tidak dinafikan bahawa memang terdapat sebab dan agenda disebalik setiap tindakan, kalau tidak mengapa mereka ingin menukarnya, kan? Tapi di sini saya ingin bangkitkan satu persoalan. Mengapa mereka sahaja mempunyai agenda, kenapa tidak kita? Kepada sesiapa yang masih tidak mengerti maksud saya, di sini saya jelaskan.

"Andaikata mereka berniat untuk mengkristiankan umat Islam di Malaysia dengan cara menggunakan penerbitan yang menggunakan kalimah Allah, kenapa kita, umat Islam itu sendiri mengadakan agenda-agenda untuk mengIslamkan mereka?"

Keliru
Kemudian ada yang mengatakan, "Kalau dibenarkan juga penggunaan kalimah ini, nanti orang Islam akan keliru. Takut merosakkan Aqidah mereka."

Ya, benar. Saya bersetuju akan kemungkinan kekeliruan ini terjadi. Tapi adakah kita lupa, kita sekarang berada dalam era globalisasi dan dilengkapi dengan kemudahan 'online' yang membolehkan segala maklumat dicari melalui petikan 'keypad' sahaja. Pengalaman saya sendiri apabila membuat carian mengenai Islam di internet, terdapat banyak laman web yang menggunakan 'Islam' sebagai 'domain name' mereka, penulisan mereka dipenuhi dengan perkataan-perkataan seperti Solat, Nabi, Rasul, Allah dan sebagainya. Walhal isi kandungannya sama sekali bertentangan dengan Islam. Bahkan ada yang jelas-jelas menentang Islam secara terang-terangan. Jadi, saya secara peribadi merasakan penerbitan Kristian menggunakan kalimah 'Allah' ini mungkin juga tidak memberi impak yang sangat besar kepada umat Islam di Malaysia.

We protect
Kemudian ada yang berkata, "Kita mesti menjaga dan memelihara Aqidah umat Islam di Malaysia". Persoalan saya, kenapa baru sekarang kenyataan ini dikeluarkan. Dulu negara kita digemparkan dengan gerakan Black Metal di Central Square Sungai Petani. Heboh sana sini tentang isu itu, hingga saya di'haram'kan daripada mengunjungi kompleks beli-belah terbesar di bandar itu selama beberapa ketika. Teringat saya, ada juga keluar kenyataan yang lebih kurang sama seperti yang di atas ini. Saya masih ingat, awalnya berlaku sekitar 1997. Kemudian isu tersebut hilang dan senyap beberapa ketika. Tercetus semula kontroversi Black Metal pada tahun 1999-2000. Hinggakan sahabat saya, seorang peminat muzik rock ditahan oleh guru agama di sekolah kerana disyaki terpengaruh dengan Black Metal. Kemudian senyap dan diam. Apakah ini bermakna tahap Aqidah pemuda-pemudi Islam sudah mantap, hasil dari gerak kerja yang proaktif? Kalau sudah mantap, rasanya tidak perlu takut kepada ajaran gereja ini. Betul tak?

Lemah
Kemudian ada yang menegaskan, "Aku takut aku lemah, hanyut nanti. Termakan dakyah mereka." Jawapan saya, umat Islam di Malaysia sudah lama termakan dakyah mereka, secara sedar atau pun tidak, secara paksa atau pun sukarela. Itu realiti. Buktinya, ada di sekeliling kita, bahkan pada diri kita sendiri.

Sarana penyelesaian
Ramai yang khuatir untuk membicarakan isu agama, kerana dikatakan sensitif. Diugut-ugut dengan ISA, AUKU dan sebagainya. Kita katakan ia isu sensitif kerana kita yang merasakan ia sensitif; atas sebab kita sendiri yang meletakkan ia sebagai isu sensitif. Maka isu agama terus menjadi sensitif yang melampau-lampau bahkan lebih sensitif daripada isu keretakan rumah tangga orang lain.

Marilah kita sama-sama berdialog dan berbincang. Kita cari titik persefahaman, dan kita saling memahami antara satu sama lain. Bila berdialog, janganlah kita berada dalam keadaan terlalu beremosi. Berdialog untuk memahami itu salah satu perintah Allah, yang termaktub dalam alQuran, yang menjadi pedoman orang Islam.

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai Ahli Kitab, marilah kita kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukanNya dengan sesuatu apapun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja-puja dan disembah selain Allah." Kemudian sekiranya mereka (Ahli Kitab) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: "Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.
(A-li 'Imraan 3:64)

Bak kata En Shah Kirit, "Let us agree to disagree." Saya setuju dengan saranannya supaya dialog-dialog yang dibuat bukan untuk menerbitkan rasa benci dan permusuhan di antara satu sama lain. Sebaliknya ia dibuat atas dasar ingin memupuk persefahaman dan menghilangkan buruk sangka yang melampaui batasan.

Perkara pokok dan asas yang amat penting untuk diteliti semula adalah aspek pemantapan Aqidah masing-masing, yang sangat mustahak dalam menentukan pegangan kita. Proses ini pasti memakan masa, kerana Aqidah yang dibina oleh Rasulullah kepada golongan Muhajirin memakan masa lebih daripada 10 tahun. Jadi tidak hairanlah jika proses pemulihan dan pemantapan Aqidah umat Islam di Malaysia memakan masa bertahun-tahun lamanya. Tapi perlu diingat, hasil yang akan diperoleh nanti insyaAllah akan menjadi amat-amat memuaskan.

Cadangan saya, tekankan aspek Aqidah dalam proses pembentukan individu muslim, yang sepatutnya bermula di rumah. Penerapan nilai-nilai Aqidah Islam perlu bermula sedari anak-anak masih berada di dalam buaian. Kemudian dimantapkan dari masa ke masa. Harus juga disertakan kehalusan kaedah dakwah semasa mendidik anak-anak dan generasi muda supaya mereka menjadi lebih bersedia dalam menempuh cabaran yang pastinya akan menjadi lebih hebat pada masa akan datang.

Wallahu a'lam.

Wassalam..

5 comments:

~MawaddaH SKIS~ said...

ya, sgt setuju dgn ulasan ni..
nmpak tak manis bila org kita terjerit dan terpekik di perkarangan masjid..
harap semua boleh gunakan pendekatan yg nmpak lebih b'ilmiah dan sopan..

bigGreD said...

mengenai bantahan di masjid2 tu, mungkin kita kena tgk the bright side of it.

maksudnya, masih ada umat Islam yang sensitif dengan isu ini. Ini menunjukkan yang sinar iman masih ada dalam lubuk hati depa, walaupun sinar itu hanyalah sinaran yang malap..

cumanya, dialog yg nk dibuat perlu bersifat 'all-out' dan berterusan, kena ada constant follow-up. Hasil dasar 'tutup pintu' yang kita amalkan di Msia, ramai org yg sepatutnya nak revert to Islam, tak jadi sbb susah nak cari maklumat n etc2..

~MawaddaH SKIS~ said...

em, betoi jugak tu..
cumanya sy risau pdpt penganut agama lain bila tgk situasi mcm tu kat masjid..
sudahla mmg smlm ni kebanyakan masjid amalkan "dasar tutup-pintu-jangan-buka-kat-bukan islam-terutamanya"..
takutnya bila depa nmpk panorama mcm ni kat masjid maka akan bertambah la rasa 'kepelikan' kat Islam kan..

stju jgak pasal dialog tu..
jgn nanti dah start sekali dua kali, pastu terus diam menyepi..(^_^)

bigGreD said...

klu yg berskala besar cam dianjur oleh govt or ngo2 tu mgkn susah.

apa yg sy cdgkn is, mgkn kita as muslim wat dialog kecil2 antara kita n our batchmates or nnt da keja, dgn patients, colleagues n lain2. tu rsnya lebih berkesan.. insyaAllah.. =)

Hakim J said...

Betul. Berdialog itu perlu.
Antara umat Islam dan bukan Islam.
Tp mesti ada juga dialog antara Muslimin - yang tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah, dengan yang tidak kisah dan dengan yang bersetuju pun jangan lupa.

Tapi pada skala bagaimana hendak dilakukan - Besar2an atau tertutup? Tugas pihak berkuasa yang menentukan. Usaha kita, menerangkan apa yang boleh kecil2an melalui blogs, fb dll.

Moga Tuhan/ God/ Allah/ Creator/ Sustainer/ Cherisher/ Lord of the Worlds memberi petunjuk dan merahmati kita semua yang mempercayai keESAanNya.