Saturday, May 15, 2010

lupa..

Assalamualaikum..

Teringat satu kata hikmah, "Melayu mudah lupa". Kemudian pokpek pembangkang mengusik dengan mengatakan "bukan Melayu saja, bahkan manusia keseluruhannya memang bersifat pelupa". Dan pasca Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu, kata hikmah ini sekali lagi berubah sifat. "Anak muda sudah lupa pada perjuangan kemerdekaan, lupa pada pengorbanan pejuang bangsa dan tanah air."

Haih, macam-macam. Pokoknya sifat lupa. Ya sememangnya lupa itu lumrah yang ada pada setiap diri manusia. Sebab itu perlunya kepada peringatan yang bukannya bersifat 'kadang-kadang' tapi mesti bersifat 'sokmo-sokmo', dan yang terlebih baik adalah berkala secara tetap.

Itulah sebabnya Islam, yang datangnya dari Pencipta yang Maha Mengetahui akan sifat hamba-hambaNya telah mewajibkan peringatan (formal dan berformat) diberi kepada setiap individu MUSLIM sekurang-kurangnya sekali seminggu, melalui Khutbah Jumaat.

Kalau dilihat dalam risalah yang diturunkan kepada ummat akhir zaman ini juga, berunsur peringatan yang bersifat berulang-ulang, dan berkali-kali diulang. Walhal bukankah sekali sahaja pun sudah memadai? Mengapa begitu? Kerana pengulangan yang berkali-kali itu memberi gambaran betapa penekanan tentang peri pentingnya akan apa yang ingin disampaikan oleh Allah kepada hamba-hambaNya.

Dan kerana sifat pelupa inilah, Islam menggalakkan ummatnya hidup secara berkelompok dengan sikap kebersamaan yang tinggi, lebih tepat lagi, hidup berjemaah. Oleh sebab itulah masjid dan surau menjadi satu komponen utama yang amat penting dalam kehidupan muslim. Keadaan masjid dan surau di sesebuah perkampungan menjadi gambaran akan hal keadaan penduduknya. Sekiranya masjid dan surau itu hidup dan makmur dengan pelbagai aktiviti tidak hanya terhad kepada solat sahaja, maka secara amnya, masyarakat yang hidup dalam perkampungan tersebut juga aman dan damai. Begitu juga jika sebaliknya.

Apakah pula peringatan yang terbaik?

Sebenarnya semua benda yang boleh menjadi sumber menyedarkan manusia merupakan cabangan yang boleh digunakan untuk dijadikan peringatan, asalkan mereka yang mendengar itu punya hasrat dan keinginan untuk memahami dan mendalaminya. Tapi, jika sebaliknya yang terjadi, buatlah apa saja, pasti ada saja yang tidak kena.

Dan peringatan yang lebih baik adalah memperbanyakkan mengingati Mati.

Mereka yang lebih banyak mengingati mati dan lebih baik persediaanya kepada perkara selepas mati, mereka itulah orang yang paling bijak

Perbanyakkanlah mengingati mati, dan buatlah persediaan menghadapinya..

Wassalam.. =)

No comments: