assalamualaikum.
Beberapa hari lepas, Mursyidul Am PAS, Tn Guru Haji Nik Abdul Aziz telah menyuarakan pendapatnya tentang pentingnya pemuda-pemuda membuat satu gerakan dakwah Islami secara besar-besaran. Pada ucapannya tersebut, beliau memberi saranan supaya Kelab Penyokong Islam ditubuhkan oleh golongan ini. Menurutnya lagi, tujuan kelab ini adalah untuk mengadakan perbincangan secara ilmiah di antara cendekiawan Islam dengan golongan bukan Islam di Malaysia. Perbincangan yang diadakan perlulah memberi penerangan yang jelas mengenai Islam dan kebenarannya kepada golongan bukan Islam. Justeru itu juga, ilmu perlu disemai di dalam diri supaya dapat menjawab pertanyaan-pertanyaan seraya membetulkan salah faham terhadap Islam.
Pada pendapat saya, langkah ini perlu dan bijak kerana dapat dilihat bahawa golongan bukan Islam di Malaysia telah menganggap agama Islam milik orang melayu semata-mata. Padahal Islam bukanlah satu agama perkauman, sebaliknya agama persaudaraan yang menyatu-padukan. Kalau diungkap sejarah perjalanan dakwah Rasulullah sendiri telah membuktikan perkara ini. Asbab usaha dakwah Baginda, lahir tokoh-tokoh Islam dari seluruh pelusuk dunia termasuk Bilal Al-Habsyi, Salman Al-Farsi dan ramai lagi. Atas nama Islam semangat 'assobiyah' yang terkenal pada kabilah-kabilah Arab pada ketika itu dapat diruntuhkan.
Selain itu juga, langkah ini dilihat sebagai penting bagi membetulkan salah faham yang nyata di kalangan golongan bukan Islam. Sebagai contoh, saya nukilkan satu pengalaman bersama rakan-rakan 'non-muslim' di IMU. Salah seorang kenalan saya telah mengatakan pendapatnya mengenai orang melayu yang memakai tudung dan 'kopiah'. Baginya perempuan yang belum bertudung belum mengerjakan haji tetapi sekiranya perempuan tersebut telah memakai tudung, maka dia telah ke Baitullah dan bergelar 'Hajjah'. Begitu juga dengan lelaki yang memakai 'kopiah' digelar 'Haji' dan sebaliknya bagi yang tidak memakainya. Apabila ditanya mengapa dia berpendapat sedemikian, dia telah mengatakan bahawa cikgunya tidak memakai tudung tetapi apabila pulang dari mengerjakan haji, cikgunya telah tetap dalam pemakaian tudung. Bukan niat saya untuk memperkecilkan niat sesiapa untuk bertudung setelah menunaikan haji, tetapi dapat dilihat begitu banyak contoh yang telah ditunjukkan oleh media massa, membuktikan orang-orang melayu bertudung hanya setelah pulang dari mengerjakan haji. Sebak juga hati mendengar penjelasan rakan saya tersebut. Setelah saya menjelaskan perkara sebenar, dia seolah-olah tidak dapat menerimanya. Namun, akhirnya dia mula menerima hakikat sebenar.
Bagi saya, perkara ini terjadi kerana sikap orang-orang melayu sendiri yang tidak gemar berkongsi dan bersikap terbuka dalam membincangkan perkara berkaitan Islam, sebaliknya lebih senang menyembunyikannya di kalangan diri sendiri. Ini jelas bertentangan dengan sabdaan Baginda yang bermaksud
"Sampaikan dariku walau satu ayat.."
Pada hemat saya, 'non-muslims' ingin mengetahui tentang keindahan Islam berdasarkan pengalaman berada di IMU. Apabila ada persoalan tentang Islam diajukan kepada saya, ramai yang akan mengambil peluang untuk mendengar dan memahami sendiri. Apa yang saya kesalkan adalah sikap menganggap pembicaraan tentang Islam secara terbuka itu tidak sesuai kerana melibatkan isu sensitif. Memang ia adalah isu sensitif tetapi dalam menyampaikan kebenaran, langkah ini saya rasakan penting kerana dapat memberi gambaran sebenar tentang Islam.
Hari ini ummat Islam marah, bengang, 'tensen' apabila ada lukisan, video dan artikel-artikel yang berunsur menghina Islam dan kemuliaanya. Apabila perkara ini terjadi, maka berentetanlah demonstrasi jalanan, penyerahan memorandum bantahan dan sebagainya. Memang ini penting kerana dapat mengingatkan golongan tersebut bahana memperolok-olokkan Islam. Namun, tidak ramai yang ingin mengkaji punca terjadinya perkara ini. Bagi saya, ia terjadi kerana sikap ummat Islam sendiri yang rata-rata seperti mempermainkan agama sendiri. Bila ditanya apa agama mereka, dijawabnya Islam. Namun akhlak dan sifat mereka sendiri telah menggambarkan betapa mereka sendiri tidak sensitif terhadap Islam. Minum arak, mengamalkan riba' dan seks bebas, meringan-ringankan solah dan tidak berpuasa, tatacara berpakaian yang tidak melambangkan perbezaan Islam dan bukan Islam dan sebagainya. Ini antara perbuatan yang mula dianggap biasa di kalangan ummat Islam masa kini khususnya di Malaysia. Maka tidak hairanlah jika mereka bertindak menerbitkan lukisan dan video tersebut.
Bukan juga niat saya untuk memburuk-burukkan sesiapa, tetapi sekurang-kurangnya kita perlu sedar tentang peranan dan tanggungjawab sendiri seterusnya bertindak memperkasakan diri kita. Pada masa yang sama dakwah perlu dijalankan agar keadaan seluruh masyarakat sejagat dapat diperbaiki sekaligus mendekatkan diri pada nikmat-nikmat dan keampunan Allah.
Mungkin inilah salah saya dan sebahagian besar umat Islam khususnya di Malaysia. Rasanya ini adalah masa terbaik untuk kita memperbaiki kesalahan diri sendiri dan berusaha memperbaiki keadaan ummat sejagat. Secara logiknya memang mustahil untuk mengubah dunia secara drastik, tapi keadaan ini tidak menjadi mustahil jika kita benar-benar beriman dan bertaqwa kepadaNya. Asalkan segala usaha telah kita jalankan dengan bersungguh-sungguh berserta dengan keyakinan pada Allah, insyaAllah segala yang kita usahakan akan membuahkan hasil.
Rasanya setakat ini nukilan untuk kali ini. Yang baik kita jadikan pedoman dan teladan, yang buruk kita jadikan pedoman, bertaubat atas kesalahan sendiri dan berusaha memperbaikinya. S
Wassalam..
No comments:
Post a Comment