Sunday, June 29, 2008

tak perlu bersebab

assalamualaikum..

Hari ini hati terasa teringin nak membicarakan perihal percintaan di alam remaja. Sebagai seseorang yang sedang menempuh alam translasi dari zaman kanak-kanak ke alam dewasa. Menjadi fitrah ketika ini kematangan diri mula ditarbiyah. Nafsu syahwat mula berkembang, pandangan mata mula tertarik kepada keayuan wanita. Diri mula merasa jatuh cinta dan sebagainya. Norma kehidupan sebegini mula merebak dalam diri saya dan sahabat-sahabat yang sebaya diri. Diri ini mengaku akan kelemahan diri sendiri pada kelembutan akhlak wanita-wanita solehah. Namun begitu, perbicaraanku ini bukanlah mengungkap rahsia cinta diri tetapi lebih kepada pendapat peribadi mengenai percintaan.

Seringkali saya menerima 'fowarded emails' yang menyentuh tentang cinta yang sejati. Tertarik diri ini untuk menyentuh tentang satu emel yang mengatakan bahawa cinta itu tidak boleh bersebab.

Cinta kerana kecantikan; pabila kecantikan pudar, tujuan percintaan sudah tiada maka tidak boleh bercinta.

Cinta kerana kemerduan suara; pabila suara tidak lagi merdu, semestinya tidak ada makna untuk bercinta.

Cinta kerana kekayaaan harta; habis harta benda, tiada lagi kebahagiaan dalam perhubungan.

Cinta kerana kepetahan berkata-kata; takdir menjadi bisu, tidak boleh lagi berkasih sayang.

Mungkin rasional jika saya selitkan maksud sabdaan Rasulullah (peace be upon him) mengenai kriteria wanita yang boleh dipilih menjadi isteri. Sememangnya hadith ini sangat popular terutama di kalangan muda-mudi yang mula mempunyai perasaan ingin berkahwin dan berumah tangga.

“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).


Melalui sabdaan Baginda, tentu ramai yang faham bahawa perkahwinan dan pemilihan isteri/suami sebaik-baiknya berdasarkan agamanya, disamping harta kekayaan, dari keturunan yang baik dan serta kerana kecantikan/kekemasan dirinya. Dan pada pandangan peribadi saya, hubungan percintaan yang baik adalah semata-mata kerana Allah selaras dengan konsep keyakinan dan keimanan bahawa Dialah Penentu dan Penetap Taqdir yang terbaik. Apabila dua insan bercinta kerana Allah, maka setiap ketentuan Allah ke atas masa depan perhubungan tersebut akan diredhai dan dapat diterima oleh diri masing-masing. Apabila jodoh sememangnya tertetap di antara mereka berdua, maka konsep syukur akan hadir dalam diri mereka. Namun, apabila jodoh bukan sesama mereka, maka konsep redha dan sabar menjelma di lubuk hati mereka.

Bagi orang yang tidak beriman, mungkin dirinya tidak dapat menerima ketentuan Allah, seterusnya mengambil tindakan yang tidak bertepatan dengan kehendak Allah seperti menyeksa diri dengan tidak makan dan minum atau lebih drastik lagi, putus asa lalu membunuh diri. Pada masa yang sama, jika ujian ini ditimpa kepada golongan Mukmin, boleh jadi juga hadir rasa sedih dan kecewa, namun bagi mereka, segala cubaan yang datang dianggap cabaran dan dugaan Allah semata-mata untuk mendekatkan mereka padaNya.

Sekali lagi ingin saya jelaskan pandangan diri bahawa cinta itu perlu bersebab, dan antara sebab-sebab tersebut, terdapat 'ultimate reason' untuk bercinta iaitu semata-mata kerana Allah, kerana ingin dekat padaNya, kerana dambakan rahmat pengampunanNya. Namun begitu, coretan saya ini tidak bermaksud saya menghalalkan percintaan di antara dua insan berlainan jantina di luar alam perkahwinan. Tujuan saya menukilkan pendapat-pendapat ini semata-mata untuk mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat, pembaca budiman tentang pentingnya kita bercinta kerana Allah. Selanjutnya, apabila kita membuat keputusan untuk berumah tangga, dapat kita betulkan niat masing-masing agar perkahwinan kita akan tergolong dalam amalan-amalan soleh serta menjadi pemberat kepada timbangan kebaikan di Akhirat kelak.

Sebelum mengakhiri tulisan ini, sekali lagi saya berpesan pada diri sendiri agar berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan redhaNya, berusaha memperbaiki diri sendiri dan terus kekal dalam menambahkan kebaikan diri serta meninggalkan segala kebatilan dan keburukan diri sendiri. Semoga kita sama-sama dapat mengecap rahmat keampunanNya dan beroleh redhaNya di dunia dan Akhirat, insyaAllah.

wassalam.

1 comment:

sayame said...

at-toyyibat littoyyibin...no worries,have faith in ALLAH...HE'll gives us the best..
syukran 4 the nice sharing..