Friday, November 6, 2009

pelik tapi benar

Assalamualaikum..

Di kesempatan ini, marilah sama-sama renungkan suatu sabdaan Rasulullah yang membawa maksud berikut:

“Islam itu bermula dengan dagang (asing), dan ia akan kembali dagang, maka beruntunglah mereka yang dagang itu.”
(Riwayat Muslim)

Benarlah apa yang pernah diucapkan lebih 1400 tahun dahulu. Islam ini datang dalam keadaan kejahilan umat ketika itu. Akibat belenggu jahiliyah yang teramat sangat, mereka jauh dari tatacara kehidupan yang dikehendaki oleh Pencipta mereka. Amatlah buruk keadaan mereka hingga kerajaan Rom dan Parsi sanggup membina tembok-tembok bagi menghalang pengaruh dan budaya buruk masyarakat itu daripada meresap ke dalam budaya mereka yang tersedia hebat dan gah.

Namun, dicelah-celah kemungkaran itulah Allah turunkan sinar hidayahNya yang terbukti menerangi kegelapan manusiawi, bukan sahaja di semenanjung Arab semata, tetapi menjangkau ke seluruh pelusuk alam. Walaupun berdepan pelbagai dugaan dan ujian dari yang Maha Memelihara, Baginda dan sahabat-sahabat yang ikhlas terus berjuang dan berkorban untuk memenangkan agama Allah di atas muka bumi ini. Hasilnya terbentanglah hidayah hingga ke 2/3 dari jajahan dunia pada ketika itu.

Lahirnya tokoh-tokoh terbilang yang disegani oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Antaranya Tariq bin Ziyad, pemuda belasan tahun yang menjadi panglima angkatan tentera yang begitu bijak menyemarakkan semangat tentera Islam dalam menawan bumi kuffar yang terlalu engkar. Sultan Muhammad al-Fateh juga tidak kurang hebatnya. Pada usia 24 tahun, telah berjaya menawan kota Constantine yang menjadi kubu kuat kepada jajahan kekuasaan penentang Islam. Nama-nama lain yang seringkali diperdengarkan adalah Umar bin Abdul Aziz yang turut mempunyai taraf kehebatan yang tidak dapat disangkal lagi.

Pun begitu, Islam bukanlah semata-mata bangkit melalui peperangan, dan bukanlah suatu sistem kehidupan beragama yang berasaskan paksaan. Tetapi ia adalah berkisarkan kepada kehendak fitrah manusia yang mahukan rasa bertuhan. Oleh kerana gesaan fitrah inilah, manusia akan kembali kepada Allah dan segala apa yang diperintahkanNya kerana itulah asal manusia.

Berbalik kepada ketokohan dan keagungan Islam yang menyinar pada ketika itu, Islam turut menerbitkan tokoh-tokoh ilmuan seperti Ibnu Sina, Ibnu Razi, Ibnu Rushd, al-Khawarizmi, al-Farabi, dan ramai lagi. Mereka telah menguasai ilmu-ilmu yang sedia ada kemudiannya menambahbaik apa yang diperoleh itu, serta diserapkan dengan nilai-nilai Islami.

Bila empayar Islam sudah berada di kemuncaknya, bibit kejatuhan mula timbul. Rakyat mula ketagih akan dunia dan segala kemewahannya, lupa akan dahsyatnya mati dan segala yang menyusurinya. Mereka lalai dan lupa pada Allah, tidak lagi mengamalkan kehidupan yang berteraskan syariat Islam. Lantas, Allah hantar manusia-manusia yang kasar lagi bengis, iaitu dari kalangan tentera Mongol untuk memalukan mereka, tidak lain mereka yang telah diberi kekuasaan tetapi lupa akan Allah.

"..dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
(al-Hajj 22:40-41)

Kemudian, Islam dilihat semakin jauh, jauh ditinggalkan dan mula dipisahkan dari kehidupan seharian. Umat mula lupa akan tuntutan Islam, mula menggilai dunia dan segala kemewahannya yang sementara. Mula lupa dan lalai. Manusia mula bergerak ke arah kejahilan dan kesesat semula. Hakikatnya itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis di atas. Dan inilah apa yang sedang berlaku kepada umat Islam hari ini, yang ramai kuantitinya tapi hanyalah umpama buih yang tidak kukuh, dan tidak mempunyai kekuatan.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”.
Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?”
Nabi saw. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan'”.
Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”.
(Riwayat Abu Daud)

Dan lihatlah, segala amal-amal soleh mula kembali dagang. Masjid-masjid kembali menjadi perhiasan yang kosong dari dihidupkan dengan ibadah dan dakwah. Ia hanya tinggal suatu bentuk kebangaan dan tarikan pelancong. Umat Islam sendiri hilang rasa kasih dan sayang kepada masjid-masjid ini. Umat Islam juga mula hilang rasa persaudaraan antara sesama sendiri. Masing-masing mula membina mahligai dan istana kekakayaan untuk diri sendiri di dunia tapi lupa pada yang kurang, dan yang tiada.

Dan amalan-amalan Islam menjadi suatu yang asing, kerana mereka sudah tidak lagi diajar dan dididik supaya mengamalkannya. Walhal perkara-perkara ini adalah gelombang hidayah yang datangnya dari Allah. Dan akhirnya naiklah frasa "pelik tapi benar.." buat agama Islam itu sendiri... Pelik (dagang/asing) tapi benar (kebenaran/hidayah dan petunjuk Allah). Renung-renungkanlah..

Wassalam..

1 comment:

bazliahrodzi said...

salam. penulisan yg mantap..
insyaAllah, walaupun dikelilingi suasana yg jahiliyah hari ini, kita mampu untuk menjadi 'org2 asing' yg berjaya =)