Wednesday, November 4, 2009

tiada rehat bagi seorang mukmin..

Rasa terpanggil untuk kembali menyentuh isu kepentingan hati dan iman dalam menjadi seorang hamba yang soleh. Mari kita sama-sama renungi suatu ayat dari alQuran yang Mulia,


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya), gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka beserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka – Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan merkea dan kemapunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

(al-Anfaal 8:2-4)


Dalam ayat ini, Allah menerangkan sifat yang sepatutnya ada pada seorang insan yang menggelar diri mereka orang yang beriman. Penerangan yang diberikan adalah jelas dan nyata. Apabila seseorang itu mempunyai ciri-ciri seperti yang digambarkan di atas, maka dia telah layak digelar orang yang beriman. Namun begitu, sifat orang yang beriman ini tersangat banyak, dan saling melengkapi antara satu sama lain. Jika dilihat dalam surah alMukminuun, ayat 1-11, juga disebut akan sifat-sifat orang-orang mukmin.


Asas kepada Islam adalah keimanan kepada Allah, Rabb (penguasa dan pemilik) dan Ilah (pergantungan harap dan pengaduan) kepada sekelian makhluk, yang tiada langsung sekutu bagiNya. Hal ini bersangkutan dengan apa yang telah Allah ungkapkan dalam alQuran melalui surah alIkhlas. Menjadi kewajipan kepada kita untuk mengukuhkan keimanan kita kepada Allah dengan cara-cara yang berlandaskan panduan alQuran dan sunnah pesuruhNya, Muhammad, rahmat kepada sekelian alam.


Apabila dikaji tentang perkembangan awal dakwah Rasulullah, dapat kita lihat bahawasanya Muhammad itu telah menerapkan nilai-nilai tauhid dan merobekkan kebatilan ‘polytheism’ yang sedia ada pada kaum Arab pada ketika itu. Dakwah baginda termula dengan memperkenalkan Allah kepada kaumnya, lantas menerangkan sifat-sifatNya serta menerapkan keyakinan yang shahih dalam hati-hati manusia pada ketika itu. Melalui wahyu yang diturunkan kepadanya, Rasulullah telah menerangkan peristiwa-peristiwa lampau yang telah berlaku dan juga membicarakan perkara-perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Antaranya kisah-kisah alam Akhirat, para malaikat, jin dan syaitan serta banya lagi perkara yang boleh kita dapati andai kita benar-benar mendalami makna dan maksud setiap bait alQuran.


Jika dilihat pada rukun iman yang kita pelajari, terdapat enam perkara yang wajib diimani oleh setiap ummat Islam. Sekiranya asas utama, iaitu tauhid kepada Allah telah benar-benar mantap, pasti akan dituruti dengan keimanan kepada Malaikat-MalaikatNya, kepada Kitab-KitabNya, kepada Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi yang diutuskan, kepada kedatangan Hari Akhirat serta kepada segala ketentuan dan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah ke atas segala sesuatu. Dan seterusnya akan menjadi mudah untuk ditafsirkan melalui perlaksanaan segala perintah-perintahNya ke atas setiap hambaNya. Setakat menunaikan solat yang lima dalam sehari itu,tidak menjadi masalah. Bahkan, jika perlu untuk mengorbankan segala-gala yang dimiliki oleh diri sendiri semata-mata untuk agama pun turut menjadi mudah untuk dilakukan.


Pun begitu, segala ibadah yang diperintah supaya dilakukan oleh setiap hambaNya adalah mudah dan tidak membebankan, sepertimana yang disangka-sangka oleh sesetengah pihak, termasuklah dari kalangan umat Islam sendiri. Puasa di siang hari selama sebulan pada bulan Ramadhan tidak membebankan, tetapi natijah sebenar Ramadhan ialah kekuatan yang terbina baik dari segi mental, rohani juga fizikal. Dengan syarat, ia dilakukan dengan penuh keimanan dan dengan penuh pengharapan. Firman Allah yang berikut menjadi bukti:


Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu puasa (di bulan Ramadhan) sepertimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.

(alBaqarah 2:183)


Juga dalam sabdaan Rasulullah yang berikut:


Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, maka akan diampunkan segala dosa-dosa mereka yang lalu.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Memperlihatkan kepada apa yang dianjurkan oleh Islam, didapati Islam juga tidak lari dari menerapkan nilai kasih sayang. Sungguh, Islam juga turut mengajak kepada kasih sayang. Melalui satu hadis Rasulullah, yang dinukilkan daripada Abu Hurairah:


“Tidak akan masuk syurga kamu semua it sehingga kamu semua beriman dan tidak akan dinamakan beriman kamu semua sehingga kamu semua saling mengasihi. Tidakkah kamu semua suka kalau aku tunjukkan kepada kamu semua sesuatu yang jikalau kamu lakukan tentu kamu semua akan saling berkasih sayang? Iaitu sebarkanlah salam sesama kamu”

(Riwayat Muslim)


Sebenarnya, telah jelas bahawa Islam mengajak umatnya supaya saling mengasihi antara satu sama lain, dan mengambil peduli akan hal ehwal saudara seagamanya yang lain, biarpun datangnya dari bangsa dan keturunan yang berbeza, pangkat dan darjat yang berlainan. Atas dasar aqidah yang sama, kekuatan ikatan persaudaraan itu adalah lebih utuh dibandingkan dengan apa-apa ikatan yang wujud di antara dua insan di atas muka bumi ini. Telitilah sabdaan Rasulullah yang berikut:


Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain ialah sebuah binaan daripada bahan yang saling sokong-menyokong antara satu dengan lain sehingga tercipta sebuah binaan.

(Riwayat Bukhari)


Maka seharusnya ada bibit kerunsingan atas apa yang menimpa saudara-saudara kita yang seagama. Pasti ramai yang sedar akan ujian yang diturunkan kepada saudara-saudara kita di Palestin, Chechnya, Kashmir, Thailand, Filipina dan sebagainya. Namun, janganlah kita lupa akan keadaan saudara-saudara kita di sekeliling kita, yang turut sama merana kerana hati-hati mereka gersang dek kemarau hujan iman yang semakin menghilang.


Atas rasa kasih dan sayang inilah, seharusnya kita sedar akan kewajipan kita mendekati mereka yang inginkan petunjuk jalan yang lurus dan benar, walaupun secara zahirnya mereka seakan-akan menentang. Sudah menjadi tanggung jawab kita untuk sama-sama mendidik diri supaya menjadi seorang insan yang beriman dengan keimanan yang shahih kepada Allah. Pendidikan (tarbiyah) yang dapat menjadikan kita hamba yang mengorak kehidupan selaras dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan bertepatan dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada kita.


Apa yang penting adalah kelangsungan kepada segala usaha tarbiyah rohani itu dilakukan. Segala yang dibina haruslah dikekalkan pada tahap yang baik, kalaupun tidak pada tingkatan yang terbaik, yang sekurang-kurangnya menghalang diri dari melakukan maksiat kepada Allah. Paling baik adalah usaha dan didikan yang terus menerus dan tidak terputus-putus. Dengan ini, peluang untuk kembali ke arah kegelapan itu akan ditutup dengan rapat dan tidak mustahil, jalan-jalan itu juga boleh dighaibkan terus dari pandangan mata, dari detusan pemikiran dan juga dari menyebabkan bolakan hati.


Bilamana ini berlaku, natijahnya ialah terhasilnya ikatan yang kukuh antara seorang hamba dengan Tuhannya. Dan mengakibatkan segala apa yang telah disyariatkan kepada manusia akan dapat dilaksanakan dengan baik. Pada saat itu, segala usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam akan mula membuahkan hasilnya. Sungguhpun ia akan memakan masa yang panjang, namun dengan Iman yang shahih serta penyatuan ummat Islam di bawah lembayung aqidah tauhid yang jelas, pasti Islam akan kembali dipandang mulia dan hebat sepertimana yang sepatutnya bagi sebuah sistem kehidupan yang benar itu dipandang. Wallahu a’lam..


Wassalam..

No comments: