Friday, November 13, 2009

alternatif

Assalamualaikum..

Bila kita melarang sesiapa pun daripada melakukan sesuatu, maka jangan biarkan mereka dalam kesamaran. Sebaliknya perelokkan larangan itu dengan memberikan alternatif dan pilihan-pilihan yang lebih baik kepada mereka.

Contoh-contohnya seperti di bawah.

Bila dikatakan tidak kepada Barisan Nasional, maka alternatifnya ialah Pakatan Rakyat atau pun calon-calon bebas. Bukannya memboikot pengundian.





Bila dilarang dari mengunjungi premis-premis seperti KFC dan sebagainya, berilah pilihan antara Radix FC, KFG dan sebagainya. Bukannya mengharamkan memakan ayam goreng rangup yang menyelerakan.




Bila dihalang dari membeli Colgate, hadiahkan senarai jenama seperti HalalGel, Safi dan lain-lain. Tidaklah sampai menghentikan manusia dari menggosok gigi.



Bila dikatakan tidak kepada 'couple', maka berilah alternatif seperti pertunangan dan pernikahan. Bukan menghalang penyemaian rasa manusia.


Bila kita menghalang manusia dari bergerak ke neraka, maka bimbinglah ke jalan-jalan syurga. Bukannya membiarkan kegusaran berpanjangan di dunia.



Kan lebih menggembirakan dan menenangkan. Tidaklah lahir sifat-sifat destruktif dan rasa ingin memberontak..

Wallahu'alam..

Have nice alternatives.. Wassalam..

Wednesday, November 11, 2009

temuduga..

Assalamualaikum..

Semalam, ada satu kuliah tentang Kitab Tanbihul Ghafilin. Dan malam tu, penceramah menceritakan tentang hadis Rasulullah mengenai kronologi manusia yang akan menempuh alam barzakh. Cukup memberansangkan, dan mengasyikkan bila mendengar akan segala nikmat yang bakal diperoleh oleh seorang hamba yang beriman dan beramal soleh. Perbincangan hadis tersebut akan bersambung dua minggu lagi, yang akan melibatkan keadaan orang-orang kafir menghadapi maut.

Cuma yang menarik perhatian adalah analogi yang beliau berikan tentang soal jawab antara Munkar&Nakir dengan ruh si mati. Cukup menarik bagi meyakinkan kita bahawa soalan-soalan dalam kubur itu tidak mudah dijawab andai kita tidak bersedia, dari segi Iman kita kepada Allah, keyakinan kita kepada Rasulullah, pengamalan kita akan apa yang terdapat dalam alQuran, atau secara mudahnya sejauh mana Islamnya kita.

Analoginya adalah seorang fresh graduate yang baru pertama kali menghadiri temuduga untuk pekerjaan.

"Bayangkanlah kita nak pi temuduga. Kita dah prepare segala-galanya, dengan bajunya, dengan sijil-sijilnya. Complete lah senang kata. Tapi bila hari temuduga tiba, kita tengok penemuduga tu misai tebai. Dah la panjang, tirus pulak tuh, macam misai A. Galak. Dengan suara kuat, garau.. Muka pun bengis. Bayangkanlah tuan-tuan. Agak-agak kita ni gabra dak nak kena interview?"

Haha, terlupa, Ustaz ni asal dari Kedah. So gaya bahasa ada lagak-lagak utara la sket. Harap maklum.

"Macam tuulah keadaannya orang yang baru pertama kali kena temuduga dengan Munkar&Nakir. Tapi temuduga tu mana ada kali kedua, ketiga. Sekali ja tuan-tuan. Tapi kalau manusia yang nak diinterview dah besa, Iman mantap, amalan soleh dijaga, Quran di baca dan diyakini serta diamalkan. InsyaAllah, dia mudah menjawab segala soalan-soalan yang ditanya.."

Begitulah..harap maaf andai tidak mampu memahami apa yang disampaikan..

Wassalam..

Friday, November 6, 2009

pelik tapi benar

Assalamualaikum..

Di kesempatan ini, marilah sama-sama renungkan suatu sabdaan Rasulullah yang membawa maksud berikut:

“Islam itu bermula dengan dagang (asing), dan ia akan kembali dagang, maka beruntunglah mereka yang dagang itu.”
(Riwayat Muslim)

Benarlah apa yang pernah diucapkan lebih 1400 tahun dahulu. Islam ini datang dalam keadaan kejahilan umat ketika itu. Akibat belenggu jahiliyah yang teramat sangat, mereka jauh dari tatacara kehidupan yang dikehendaki oleh Pencipta mereka. Amatlah buruk keadaan mereka hingga kerajaan Rom dan Parsi sanggup membina tembok-tembok bagi menghalang pengaruh dan budaya buruk masyarakat itu daripada meresap ke dalam budaya mereka yang tersedia hebat dan gah.

Namun, dicelah-celah kemungkaran itulah Allah turunkan sinar hidayahNya yang terbukti menerangi kegelapan manusiawi, bukan sahaja di semenanjung Arab semata, tetapi menjangkau ke seluruh pelusuk alam. Walaupun berdepan pelbagai dugaan dan ujian dari yang Maha Memelihara, Baginda dan sahabat-sahabat yang ikhlas terus berjuang dan berkorban untuk memenangkan agama Allah di atas muka bumi ini. Hasilnya terbentanglah hidayah hingga ke 2/3 dari jajahan dunia pada ketika itu.

Lahirnya tokoh-tokoh terbilang yang disegani oleh kawan dan dihormati oleh lawan. Antaranya Tariq bin Ziyad, pemuda belasan tahun yang menjadi panglima angkatan tentera yang begitu bijak menyemarakkan semangat tentera Islam dalam menawan bumi kuffar yang terlalu engkar. Sultan Muhammad al-Fateh juga tidak kurang hebatnya. Pada usia 24 tahun, telah berjaya menawan kota Constantine yang menjadi kubu kuat kepada jajahan kekuasaan penentang Islam. Nama-nama lain yang seringkali diperdengarkan adalah Umar bin Abdul Aziz yang turut mempunyai taraf kehebatan yang tidak dapat disangkal lagi.

Pun begitu, Islam bukanlah semata-mata bangkit melalui peperangan, dan bukanlah suatu sistem kehidupan beragama yang berasaskan paksaan. Tetapi ia adalah berkisarkan kepada kehendak fitrah manusia yang mahukan rasa bertuhan. Oleh kerana gesaan fitrah inilah, manusia akan kembali kepada Allah dan segala apa yang diperintahkanNya kerana itulah asal manusia.

Berbalik kepada ketokohan dan keagungan Islam yang menyinar pada ketika itu, Islam turut menerbitkan tokoh-tokoh ilmuan seperti Ibnu Sina, Ibnu Razi, Ibnu Rushd, al-Khawarizmi, al-Farabi, dan ramai lagi. Mereka telah menguasai ilmu-ilmu yang sedia ada kemudiannya menambahbaik apa yang diperoleh itu, serta diserapkan dengan nilai-nilai Islami.

Bila empayar Islam sudah berada di kemuncaknya, bibit kejatuhan mula timbul. Rakyat mula ketagih akan dunia dan segala kemewahannya, lupa akan dahsyatnya mati dan segala yang menyusurinya. Mereka lalai dan lupa pada Allah, tidak lagi mengamalkan kehidupan yang berteraskan syariat Islam. Lantas, Allah hantar manusia-manusia yang kasar lagi bengis, iaitu dari kalangan tentera Mongol untuk memalukan mereka, tidak lain mereka yang telah diberi kekuasaan tetapi lupa akan Allah.

"..dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa; Iaitu mereka (umat Islam) yang jika kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar, Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."
(al-Hajj 22:40-41)

Kemudian, Islam dilihat semakin jauh, jauh ditinggalkan dan mula dipisahkan dari kehidupan seharian. Umat mula lupa akan tuntutan Islam, mula menggilai dunia dan segala kemewahannya yang sementara. Mula lupa dan lalai. Manusia mula bergerak ke arah kejahilan dan kesesat semula. Hakikatnya itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah dalam hadis di atas. Dan inilah apa yang sedang berlaku kepada umat Islam hari ini, yang ramai kuantitinya tapi hanyalah umpama buih yang tidak kukuh, dan tidak mempunyai kekuatan.

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”.
Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit pada hari itu?”
Nabi saw. menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan'”.
Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?” Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati”.
(Riwayat Abu Daud)

Dan lihatlah, segala amal-amal soleh mula kembali dagang. Masjid-masjid kembali menjadi perhiasan yang kosong dari dihidupkan dengan ibadah dan dakwah. Ia hanya tinggal suatu bentuk kebangaan dan tarikan pelancong. Umat Islam sendiri hilang rasa kasih dan sayang kepada masjid-masjid ini. Umat Islam juga mula hilang rasa persaudaraan antara sesama sendiri. Masing-masing mula membina mahligai dan istana kekakayaan untuk diri sendiri di dunia tapi lupa pada yang kurang, dan yang tiada.

Dan amalan-amalan Islam menjadi suatu yang asing, kerana mereka sudah tidak lagi diajar dan dididik supaya mengamalkannya. Walhal perkara-perkara ini adalah gelombang hidayah yang datangnya dari Allah. Dan akhirnya naiklah frasa "pelik tapi benar.." buat agama Islam itu sendiri... Pelik (dagang/asing) tapi benar (kebenaran/hidayah dan petunjuk Allah). Renung-renungkanlah..

Wassalam..

Wednesday, November 4, 2009

tiada rehat bagi seorang mukmin..

Rasa terpanggil untuk kembali menyentuh isu kepentingan hati dan iman dalam menjadi seorang hamba yang soleh. Mari kita sama-sama renungi suatu ayat dari alQuran yang Mulia,


Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya), gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka beserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka – Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan merkea dan kemapunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).

(al-Anfaal 8:2-4)


Dalam ayat ini, Allah menerangkan sifat yang sepatutnya ada pada seorang insan yang menggelar diri mereka orang yang beriman. Penerangan yang diberikan adalah jelas dan nyata. Apabila seseorang itu mempunyai ciri-ciri seperti yang digambarkan di atas, maka dia telah layak digelar orang yang beriman. Namun begitu, sifat orang yang beriman ini tersangat banyak, dan saling melengkapi antara satu sama lain. Jika dilihat dalam surah alMukminuun, ayat 1-11, juga disebut akan sifat-sifat orang-orang mukmin.


Asas kepada Islam adalah keimanan kepada Allah, Rabb (penguasa dan pemilik) dan Ilah (pergantungan harap dan pengaduan) kepada sekelian makhluk, yang tiada langsung sekutu bagiNya. Hal ini bersangkutan dengan apa yang telah Allah ungkapkan dalam alQuran melalui surah alIkhlas. Menjadi kewajipan kepada kita untuk mengukuhkan keimanan kita kepada Allah dengan cara-cara yang berlandaskan panduan alQuran dan sunnah pesuruhNya, Muhammad, rahmat kepada sekelian alam.


Apabila dikaji tentang perkembangan awal dakwah Rasulullah, dapat kita lihat bahawasanya Muhammad itu telah menerapkan nilai-nilai tauhid dan merobekkan kebatilan ‘polytheism’ yang sedia ada pada kaum Arab pada ketika itu. Dakwah baginda termula dengan memperkenalkan Allah kepada kaumnya, lantas menerangkan sifat-sifatNya serta menerapkan keyakinan yang shahih dalam hati-hati manusia pada ketika itu. Melalui wahyu yang diturunkan kepadanya, Rasulullah telah menerangkan peristiwa-peristiwa lampau yang telah berlaku dan juga membicarakan perkara-perkara yang akan berlaku pada masa akan datang. Antaranya kisah-kisah alam Akhirat, para malaikat, jin dan syaitan serta banya lagi perkara yang boleh kita dapati andai kita benar-benar mendalami makna dan maksud setiap bait alQuran.


Jika dilihat pada rukun iman yang kita pelajari, terdapat enam perkara yang wajib diimani oleh setiap ummat Islam. Sekiranya asas utama, iaitu tauhid kepada Allah telah benar-benar mantap, pasti akan dituruti dengan keimanan kepada Malaikat-MalaikatNya, kepada Kitab-KitabNya, kepada Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi yang diutuskan, kepada kedatangan Hari Akhirat serta kepada segala ketentuan dan ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah ke atas segala sesuatu. Dan seterusnya akan menjadi mudah untuk ditafsirkan melalui perlaksanaan segala perintah-perintahNya ke atas setiap hambaNya. Setakat menunaikan solat yang lima dalam sehari itu,tidak menjadi masalah. Bahkan, jika perlu untuk mengorbankan segala-gala yang dimiliki oleh diri sendiri semata-mata untuk agama pun turut menjadi mudah untuk dilakukan.


Pun begitu, segala ibadah yang diperintah supaya dilakukan oleh setiap hambaNya adalah mudah dan tidak membebankan, sepertimana yang disangka-sangka oleh sesetengah pihak, termasuklah dari kalangan umat Islam sendiri. Puasa di siang hari selama sebulan pada bulan Ramadhan tidak membebankan, tetapi natijah sebenar Ramadhan ialah kekuatan yang terbina baik dari segi mental, rohani juga fizikal. Dengan syarat, ia dilakukan dengan penuh keimanan dan dengan penuh pengharapan. Firman Allah yang berikut menjadi bukti:


Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu puasa (di bulan Ramadhan) sepertimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa.

(alBaqarah 2:183)


Juga dalam sabdaan Rasulullah yang berikut:


Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, maka akan diampunkan segala dosa-dosa mereka yang lalu.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Memperlihatkan kepada apa yang dianjurkan oleh Islam, didapati Islam juga tidak lari dari menerapkan nilai kasih sayang. Sungguh, Islam juga turut mengajak kepada kasih sayang. Melalui satu hadis Rasulullah, yang dinukilkan daripada Abu Hurairah:


“Tidak akan masuk syurga kamu semua it sehingga kamu semua beriman dan tidak akan dinamakan beriman kamu semua sehingga kamu semua saling mengasihi. Tidakkah kamu semua suka kalau aku tunjukkan kepada kamu semua sesuatu yang jikalau kamu lakukan tentu kamu semua akan saling berkasih sayang? Iaitu sebarkanlah salam sesama kamu”

(Riwayat Muslim)


Sebenarnya, telah jelas bahawa Islam mengajak umatnya supaya saling mengasihi antara satu sama lain, dan mengambil peduli akan hal ehwal saudara seagamanya yang lain, biarpun datangnya dari bangsa dan keturunan yang berbeza, pangkat dan darjat yang berlainan. Atas dasar aqidah yang sama, kekuatan ikatan persaudaraan itu adalah lebih utuh dibandingkan dengan apa-apa ikatan yang wujud di antara dua insan di atas muka bumi ini. Telitilah sabdaan Rasulullah yang berikut:


Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain ialah sebuah binaan daripada bahan yang saling sokong-menyokong antara satu dengan lain sehingga tercipta sebuah binaan.

(Riwayat Bukhari)


Maka seharusnya ada bibit kerunsingan atas apa yang menimpa saudara-saudara kita yang seagama. Pasti ramai yang sedar akan ujian yang diturunkan kepada saudara-saudara kita di Palestin, Chechnya, Kashmir, Thailand, Filipina dan sebagainya. Namun, janganlah kita lupa akan keadaan saudara-saudara kita di sekeliling kita, yang turut sama merana kerana hati-hati mereka gersang dek kemarau hujan iman yang semakin menghilang.


Atas rasa kasih dan sayang inilah, seharusnya kita sedar akan kewajipan kita mendekati mereka yang inginkan petunjuk jalan yang lurus dan benar, walaupun secara zahirnya mereka seakan-akan menentang. Sudah menjadi tanggung jawab kita untuk sama-sama mendidik diri supaya menjadi seorang insan yang beriman dengan keimanan yang shahih kepada Allah. Pendidikan (tarbiyah) yang dapat menjadikan kita hamba yang mengorak kehidupan selaras dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan bertepatan dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada kita.


Apa yang penting adalah kelangsungan kepada segala usaha tarbiyah rohani itu dilakukan. Segala yang dibina haruslah dikekalkan pada tahap yang baik, kalaupun tidak pada tingkatan yang terbaik, yang sekurang-kurangnya menghalang diri dari melakukan maksiat kepada Allah. Paling baik adalah usaha dan didikan yang terus menerus dan tidak terputus-putus. Dengan ini, peluang untuk kembali ke arah kegelapan itu akan ditutup dengan rapat dan tidak mustahil, jalan-jalan itu juga boleh dighaibkan terus dari pandangan mata, dari detusan pemikiran dan juga dari menyebabkan bolakan hati.


Bilamana ini berlaku, natijahnya ialah terhasilnya ikatan yang kukuh antara seorang hamba dengan Tuhannya. Dan mengakibatkan segala apa yang telah disyariatkan kepada manusia akan dapat dilaksanakan dengan baik. Pada saat itu, segala usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam akan mula membuahkan hasilnya. Sungguhpun ia akan memakan masa yang panjang, namun dengan Iman yang shahih serta penyatuan ummat Islam di bawah lembayung aqidah tauhid yang jelas, pasti Islam akan kembali dipandang mulia dan hebat sepertimana yang sepatutnya bagi sebuah sistem kehidupan yang benar itu dipandang. Wallahu a’lam..


Wassalam..