Tuesday, October 20, 2009

selamat mengharungi peperiksaan..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah kita masih lagi dikurniakan nikmat kehidupan di atas muka bumi ini dan terus diberi segala macam nikmat yang datang tanpa henti setiap hari. Memandangkan musim peperiksaan bagi penuntut-penuntut di IPT semakin hari semakin dekat, bahkan ada yang sedang mengharunginya sekarang ini, maka menjadi suatu kelaziman untuk melihat dan mendengar luahan hati dari golongan ini yang mendakwa mengalami tekanan perasaan akibat bebanan pelajaran. Ada juga yang mempersoalkan kewajarannya meneruskan pembelajaran dalam bidang yang sedang diceburi, dan turut mencadangkan buat diri sendiri akan alternatif yang boleh diambil sekiranya tidak lagi berminat dan bersemangat untuk meneruskan segala apa sedang yang dilakukan sekarang. Mungkin ada antara kita sendiri pernah melafazkan penyesalan kerana memilih untuk menyambung pelajaran dalam sesuatu bidang itu, dan membayangkan untuk berpatah balik ke masa lalu untuk 'memperbetulkan' pilihan yang telah tersedia di depan mata. Tak kurang juga yang mencadangkan agar ditukar bidang pada saat akhir kepada suatu lapangan yang amat kontra dengan apa yang dilaluinya sekarang ini.

Mari sama-sama kita teliti dan fahamkan mesej Allah yang dinukilkan melalui Firmannya:

...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(al-Baqarah 2:216)

Apa yang telah berlaku ini adalah apa yang telah ditakdirkan oleh Allah, dan itulah yang sebaik-baik perkara yang sepatutnya terjadi kepada kita. Maka seharusnya kita hadapi segala cabaran yang mendatang dengan tatacara yang terbaik dan menurut syariat Allah. Mungkin kita boleh perbaiki mana-mana kelemahan yang ada, dan mantapkan segala yang telah baik itu. Sebagai orang Islam, kita tidak dapat lari dari menjadikan alQuran dan asSunnah sebagai sumber rujukan utama dalam menilai dan menyelesaikan permasalahan yang timbul, walaupun permasalahan tersebut merupakan permasalahan kecil yang kurang signifikasinya pada sesetengah manusia. Oleh itu, mari kita rujuk Firman Allah dalam alQuran.

Katakanlah (wahai Muhammad) : "Sesungguhnya solatku, dan ibadatku, dan hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.
(al-An'am 6:162)

Telah jelas dalam al Quran yang mulia itu, bahawa sesungguhnya segala apa yang kita lakukan sepanjang kehidupan ini perlulah diletakkan satu matlamat yang agung padanya. Iaitu kepada Allah. Maka cara utama untuk mengekalkan semangat dalam sesuatu pekerjaan itu adalah dengan meletakkan matlamatnya kerana Allah. Pasti akan dibalas dengan segala macam kebaikan dan ganjaran yang berlipat kali ganda. Pun begitu, usaha ini memerlukan keteguhan iman dalam hati seorang manusia, kerana setiap apa yang bakal Allah balas itu banyaknya merupakan ganjaran di alam Ghaib (bukan alam jin/hantu dsb). Pengurniaan darjah kemuliaan di sisi Allah itu sudah pasti tidak boleh terlihat dengan mata kasar, lantas dalam meyakini pembalasan Allah, penting hadirnya iman yang utuh dari hati yang bersih. Oleh sebab itulah, betapa pentingnya kita berusaha untuk memantapkan iman di dada agar mampu memandu perjalanan hidup kita.

Apabila kita telah temui keyakinan (iman) itu, maka perlu pula kita bertetap pada jalan yang telah dipilih. Firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham), "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
(Fussilat 41:30)

Istiqamah juga telah disarankan oleh Rasulullah dalam suatu dialog antaranya dengan seorang sahabat yang bertanya.

Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata:
Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah.Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.
(Riwayat Muslim)

Untuk beristiqamah dalam sesuatu pekerjaan amatlah payah. Pasti banyak dugaan dan ujian yang akan datang, silih berganti ujian senang dan susah itu menyusul sepanjang perjalanan perjuangan itu berlangsung. Namun, sekiranya asas perjuangan itu sudah kukuh, segala ujian dan dugaan pasti dapat ditempuh dengan baik, kalaupun tidak sempurna. Asas yang kukuh itu hanyalah iman yang shahih kepada Allah dan berbuat sesuatu pekerjaan juga keranaNya. Di samping itu, tak salah sekiranya kita sertakan sekali 'enhancer' kepada pekerjaan tersebut, yang mungkin boleh terdiri daripada faktor-faktor lain seperti keluarga, masyarakat dan sebagainya. Dengan adanya perkara-perkara sebegini, pasti 'fluctuation' yang terjadi pada semangat kita akan dapat dikurangkan, hingga tidaklah terlalu menjejaskan pergerakan kita.

Memetik apa yang sering Ustaz Hasrizal sebutkan dan war-warkan, 'erti hidup adalah pada memberi'. Mungkin itulah juga yang dapat kita jadikan sandaran pada setiap apa yang kita lakukan. Andaikata kita masih berada di universiti, sebagai seorang pelajar dalam bidang perubatan, mungkin kita boleh menganggap dan menanam minat untuk memberi dan menyumbang kepada masyarakat melalui apa yang telah dan sedang kita pelajari ini. Lihatlah keluar jendela kehidupan kita, hingga kita dapat melihat mereka yang diluar sana. Sama ada sedar atau tidak, pasti ada yang mengharapkan bantuan dan perkongsian daripada kita. Mereka ini lazimnya dahagakan iman, laparkan kasih sayang.

Ada juga yang mengatakan bidang yang diceburinya itu terpaksa dilalui bukan kerana minatnya sendiri, tetapi lebih kepada minat dan permintaan/rayuan dari ibu bapa dan sanak saudaranya. Positifkan pemikiran dan penerimaan kita terhadap sesuatu perkara. Jika ini sebabnya semangat itu tidak hadir, maka kita boleh juga menjadikan moto Ustaz Hasrizal sebagai satu panduan mempositifkan segala tanggapan negatif yang telah kita tanamkan dalam jiwa. Anggaplah dan niatkanlah segala usaha kita itu adalah sebagai suatu hadiah yang tanda penghargaan kepada ibu bapa, yang telah banyak bersusah payah demi kita sedari kita di dalam alam rahim lagi. Kita sudah pasti tidak dapat membalas segala jasa mereka walau sebesar manapun yang telah kita lakukan, tapi sekurang-kurangnya 'effort' untuk menunjukkan penghargaan ini dapat sedikit sebanyak menyejukkan jiwa mereka. Apakah kita tidak mahu menjadi anak atau keturunan yang menjadi penyejuk hati bagi si ibu dan ayah memandangnya?

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata, "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa".
(al-Furqaan 25:74)

Sebenarnya banyak lagi yang boleh kita jadikan faktor pemangkin kepada kita dalam meneruskan perjalanan kehidupan ini. Apa yang penting ialah meletakkan Allah dan RasulNya sebagai keutamaan yang tetinggi dan diikuti dengan lain-lain perkara. Jangan dilupa faktor doa dan pengharapan kepada Allah apabila melakukan setiap perkara.

"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat."
(al-Ikhlaas 112:2)

Khas bagi yang bakal menghadapi peperiksaan, ambillah pengajaran dari Kalamullah dibawah ini.

...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)...
(at-Talaaq 65:2-3)

Wallahu a'lam..

Wassalam...

Monday, October 19, 2009

ghurabaa...

Assalamualaikum..

Kalau benarlah kita orang yang berani menegakkan kebenaran, maka mati itu bukanlah satu penghalang dalam perjuangan. Hanya Allah sahaja yang menjadi matlamat utama dalam kehidupan hingga segala yang lain tidak mampu untuk menghentikan kita dari bergerak menuju kepada kebenaran, ke arah apa yang Allah mahukan..



Telitilah maksud sabdaan Baginda Rasulullah:

Hadis Abu Hurairah:
Rasulullah s.a.w. bersabda: Allah akan memberi jaminan kepada orang-orang yang keluar (berjuang) di jalan-Nya. Sesungguhnya orang yang keluar untuk berjihad hanya kerana iman dan ikhlas kepada Allah, maka Allahlah yang akan memberi jaminan untuk memasukkannya ke dalam Syurga atau akan mengembalikannya semula ke rumah, beliau juga keluar dengan mendapat pahala atau harta rampasan. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Pada setiap bahagian tubuh yang terluka di jalan Allah akan diperlihatkan oleh-Nya pada Hari Kiamat. Ketika beliau terluka warna darah dan baunya adalah seperti minyak kasturi. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya, jika peperangan itu memang tidak berat bagi kaum Muslimin, sudah tentu aku tidak akan meninggalkan pasukan yang turut berperang pada jalan Allah tetapi aku sendiri tidak mampu memberikan kenderaan kepada mereka dan keadaan mereka sendiri juga seperti diriku yang tidak mampu. Mereka sendiri sebenarnya masih merasa keberatan dan tidak dapat berangkat bersamaku. Demi Zat yang jiwa Muhammad berada dalam kekuasaan-Nya. Sesungguhnya aku lebih suka seandainya aku berperang di jalan Allah lalu terbunuh, lalu aku dihidupkan kemudian berperang lagi dan terbunuh, kemudian aku dihidupkan dan berperang lagi dan akhirnya terbunuh lagi.
(Riwayat Muslim)

Wallahu a'lam.

Sunday, October 18, 2009

masa lapang sebelum sempit

Assalamualaikum..

Alhamdulillah cuti semester dah hampir berakhir. Cuti yang terpanjang selama berada di IMU ini. Alhamdulillah panjangnya tempoh cuti memberi masa lapang yang amat banyak kepadaku ditambah pula dengan perlepasan jawatan dalam persatuan yang telah dipegang. Akibatnya? Lapang yang teramat sangat. Kadang-kadang terasa seronok bila segala bebanan tanggungjawab yang dulunya dipikul diriku, kini ditanggung oleh orang lain. Ada juga ketikanya, kurasakan seperti perlu untuk kembali memikulnya, kerana apa telah kuusahakan pada waktu dulu masih belum mencukupi dan terlalu banyak kelemahannya.

Berbalik kepada kelapangan masa yang ada sekitar selama 11 minggu ini, yang sebenarnya amat mengganggu diriku. Hatiku terusik oleh suatu pepatah Arab yang mengatakan 'statiknya air merosakkannya, statiknya pemuda akan membunuh dirinya'. Memang mengganggu pemikiran hati. Apakah dengan kelapangan masa yang melanda diri akan meyebabkan rosaknya pemikiran dan fizikalku. Jika seseorang itu tidak melakukan apa-apa melainkan makan, minum dan tidur sahaja, risiko untuk menjadi 'rosak' adalah adalah tersangat tinggi. Kurangnya senaman dan pergerakan akan menyebabkan kesihatan diri terjejas walaupun sudah mengamalkan diet dan pemakanan yang seimbang dan berkualiti. Tapi ada satu lagi yang bermain di pemikiran ini. Tentang tidak mahu diri ini menjadi statik, yang menyebabkan diriku mahu melakukan sesuatu. Jika sebulan di rumah pada bulan Ramadhan, selain dipenuhi dengan kehendak diri mengaut segala keuntungan dan ganjaran keberkatan padanya, kelapangan diri turut diisi dengan keperluan membantu sang ibu menyiapkan tempahan kuih yang diterima. Timbul persoalan tentang bagaimana untuk memanfaatkan bulan kedua musim cuti ini yang jatuhnya pada bulan Syawal. Apakah yang perlu dan mesti kulakukan agar tidak menjadi seperti seekor sesumpah yang hanya sesekali bergerak, lalu dikaitkan dengan perkataan 'sumpah'; suatu petanda keburukan akibat kemalasan dan kurangnya pergerakan. Bukan mengutuk apatah lagi menghina makhluk ciptaan Allah itu, tapi sengaja menjadikannya satu contoh untuk menggambarkan keperluan untuk menjadi yang lebih baik.

Teringat akan pesan Rasulullah yang meminta setiap Muslim supaya merebut lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Antaranya ialah, 'masa lapang sebelum datangnya masa sempit'. Ini juga merupakan salah satu perkara yang menjadi permainan di minda. Apakah aku termasuk dalam golongan yang telah merebut kelapangan yang diberi? Adakah aku telah mengisi masa lapang yang ada dengan sebaik-baiknya? Dan, apakah segala yang kulakukan pada masa cuti itu amat bermanfaat pada diriku dan orang lain? Teringat tika dipermulaan cuti tempoh hari, pelbagai perancangan telah dibuat bagi memanfaatkan masa lapang yang ada. Dari semudah-mudah perkara hinggalah ke seberat-berat tindakannya. Tapi seperti biasa, perancangan itu hanyalah suatu bentuk semangat yang tinggal di atas kertas dan amat sukar untuk diterjemahkan kepada tindakan yang lebih produktif dan memperlihatkan hasilnya. Niat di hati ingin mencari pekerjaan sambilan. Hendak menampung perbelanjaan persendirian di samping menimba pengalaman dan kemahiran dalam mengendalikan manusia (majikan, penyelia, pelanggan, penyibuk) dan mesin. Tapi, menyedihkan apabila hampir semua kekosongan yang ada hanya boleh diisi oleh kaum Hawa. Sungguh 'sexist' Malaysia sekarang. Yang berkehendakkan kepada lelaki pula meletakkan syarat yang memerlukan pemohon bekerja sekurang-kurangya 3 bulan, yang sememangnya tidak dapat dipenuhi kerana tempoh cuti pun hampir tamat. Akhirnya diterima berkerja sambilan di perpustakaan IMU. Alhamdulillah sekurang-kurangnya ada juga masa yang akan diluangkan di rak-rak buku, walau tidak membaca dan menelaah. Tapi tujuan utama dalam mengisi masa lapang bukan hanya pada keperluan kewangan dan pembelajaran akademik semata-mata. Masih lagi kuinginkan hasil yang lebih baik dari sekadar memperoleh pengalaman dan kemahiran itu sahaja.

Jika diteliti semula sepanjang masa cuti berlalu, banyak juga yang telah kupelajari. Antaranya, cara-cara mengatasi rasa kehilangan dan kelunturan semangat dalam diri. Pengalaman mengalami kegagalan dalam peperiksaan mendidik diriku akan kepentingan rasa kehambaan dalam diri sendiri. Kebergantungan kepada Allah pada diri setiap orang Islam amatlah penting dalam meneruskan rutin kehidupan harian di samping meneruskan kerja-kerja dan tanggungjawab memakmurkan muka bumi ini. Dengan adanya rasa kehambaan dan pengharapan kepada Allah, segala bentuk ujian dan rintangan yang dilalui akan dirasakan mudah serta menatijahkan pelbagai kesan yang amat mendalam; pemantapan tingkatan keimanan serta penambahbaikan tahap kematangan dalam berfikir dan bertindak. Di samping itu, terdapat juga pengajaran lain yang diperoleh antaranya peri pentingnya mengekalkan hubungan baik sesama manusia yang berada di sekeliling. Dengan mengamalkan hubungan yang baik dengan sesama manusia, manfaatnya akan kelihatan apabila suatu musibah ditimpa ke atas diri. Ini kerana orang di sekeliling kebanyakannya akan memberi sokongan moral dan emosi yang sememangnya penting dalam mengembalikan keyakinan yang hilang akibat ujian yang dihadapi.

Selain itu, tempoh cuti ini juga kuusahakan agar dapat dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti bersifat 'enrichment' bagi mengukuhkan lagi iman di jiwa, memantapkan ilmu di minda serta memperbaiki segala amal. Pun begitu masih lagi kurasakan segala yang diusahakan ini tidak memadai bagi menjadikan diriku ini seorang hamba Allah yang teguh perjalanan dirinya dalam menegakkan syariat Islam di atas muka bumi ini. Bagi seorang yang masih bertatih dalam memikul tanggungjawab sebagai khalifah, masih banyak yang perlu dilakukan dan pelbagai juga yang perlu diperbaiki dari masa ke masa. Walaubagaimanapun, segala usaha ini perlu diteruskan tanpa mengenal erti penat lelah apatah lagi rasa jemu yang perlu dijauhkan sama sekali.

Have a nice day!! :-)

Wassalam..

Thursday, October 15, 2009

teguhkan hati itu..

Assalamualaikum..

Mari kita lihat petikan sabdaan Rasulullah mengenai peranan hati yang amat penting dalam kehidupan seharian.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

Melalui sabdaan Baginda ini, sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh dibincangkan. Tapi kali ini, pokok perbincangan adalah mengenai hati. Perihal hati yang semestinya kita jaga dan didik. Jelas dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan hatilah yang mengawal baik buruk perilaku manusia itu. Jadi, tak hairanlah bila ada ilmuan Islam yang mengatakan hati itulah raja dan pemerintah kepada seluruh anggota badan termasuklah akal fikiran manusia. Sebagaimana seorang pemerintah yang baik akan dapat mentadbir jajahan kekuasaannya dengan baik, begitu jugalah hati yang baik, pasti dapat mengawal tindak-tanduk seseorang individu itu sendiri. Sebaliknya, seorang pemerintah yang lemah akan mengakibatkan pelbagai masalah dan menimbulkan huru hara yang tidak terkawal. Itulah juga hakikat yang akan terjadi kepada seseorang manusia yang tidak memiliki hati yang baik. Apabila sesuatu jiwa (hati) itu dikurniakan hidayah Allah, maka disitulah anak tangga pertama dalam memperoleh hati yang baik. Kemudian perlulah hati itu diasuh dan dididik dengan iman. Kemudian akan dituruti dengan segala amalan soleh yang pastinya mudah bila hati sudah beriman dengan Aqidah yang shahih.

Dengan iman, setiap manusia akan dapat mendidik hati menjadi raja dan pentadbir diri supaya menjadi elok dan sejahtera. Pemahaman kebanyakan kita, Iman itu terhasil dari pengucapan kalimah syahadah, iaitu penyaksian dan pengakuan diri terhadap kekuasaan dan keagungan Allah. Sebenarnya, pembukitan iman masih tidak cukup dengan hanya melafazkan dengan penyaksian di bibir dan lidah. Petanda keimanan akan terbukti bukan sekadar dengan perkataan semata-mata, tetapi ia perlu dimulakan dengan iktiqad di hati bahawa sesungguhnya tiada yang tuhan yang berhak disembah melainkan Allah semata-mata, dan Muhammad bin Abdullah itulah utusanNya yang membawa petunjuk dari Allah. Kemudian pasti dituruti dengan amal perbuatan oleh diri sendiri.

Apabila seseorang individu itu mempunyai hati yang beriman, amatlah mudah baginya menafsirkan keimanannya melalui perbuatannya dan perkataannya. Ini kerana hatilah raja yang menentukan hala tuju seseorang itu. Lihatlah saja golongan yang awal-awal menerima Islam dengan keimanan dan keyakinan yang amat-amat teguh seperti Abdullah bin Uthman bin Amir (Abu Bakr), Bilal bin Rabah, Abdul-Rahman bin 'Auf, Ali bin Abi Talib, Summayyah dan ramai lagi. Oleh sebab teguhnya pergantungan mereka kepada Allah, maka mereka dikurniakan keberanian dan kedegilan yang amat sangat dalam mempertahankan iman dalam diri. Semua kita tahu betapa dahsyatnya Bilal dan keluarga Ammar bin Yasser didera oleh kaum musyrikin Mekah. Namun, mereka sanggup tempuhi dan tetap teguh dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan meranapkan tembok-tembok kebatilan. Bagaimana mereka mampu memperoleh semua itu? Tidak lain dan tidak bukan, hasil didikan iman dalam diri mereka. Atas usaha mereka, generasi Islam yang mendatang selepas mereka maju dan disegani di seluruh pelusuk dunia. Seperti yang telah kita maklum pada sejarah Islam, Khulafa' ar-Rasyidin, Kerajaan Islam Ummaiyah, Kerajaan Islam Abbasiyah dan Kerajaan Islam Uthmaniyah. Tidak mustahil bagi kita untuk kembali kepada tingkatan kemuliaan seperti itu, tapi kita perlu menggunakan strategi yang tepat dan berkesan. Strategi itu adalah pelan dan tindakan yang sama telah dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya. Mendidik jiwa lantas meneguhkan keyakinan pada Allah dan RasulNya.

Wahai saudaraku sekalian. Marilah sama-sama kita bangkit dari kelalaian dan kealpaan, perbetulkan kesalahan dan kesilapan, serta kembali kepada segala perkara yang dikehendaki dan diperintahkan Allah dan RasulNya. Hilangkanlah segala gusar dan gundah hati terhadap perkara yang sia-sia. Binalah yakin pada Allah dan RasulNya.

Marilah kita kembali beriman..

Tuesday, October 13, 2009

Jamuan Hari Raya PAPISMA

Assalamualaikum..

Di sini saya ingin menjemput para pembaca untuk menghadiri jamuan Hari Raya anjuran PAPISMA.

TARIKH:
17 Oktober 2009

MASA: 11pg - 3.00ptg

TEMPAT:
NO 2, Jalan 4/5 J,

Seksyen 4 Bandar Baru Bangi, Selangor.

Wednesday, October 7, 2009

bila cikgu pun takde keje..

Assalamualaikum..

Jom kita tengok cerita cikgu. Boring lah asyik baca dan dengar cerita doktor and allied health sciences je. Ha, kalau anda semua nak tahu, ada desas desus khabar angin mengatakan kerajaan nak mengehadkan bilangan guru di sekolah-sekolah di seluruh tanah air. Betul ke? Salah.. Bukan mengehadkan bilangan guru, tapi mengurangkan pengambilan baru guru ke sekolah-sekolah atas alasan kewangan negara tidak mengizinkan. Betul ke? Pun masih menjadi tanda tanya. Namun melalui laman blog seorang penuntut di UPSI, katanya itulah yang diselitkan oleh seseorang dari Kementerian berkaitan dengan ehwal ini. Tapi ku tak tahu kesahihan berita itu. Selidik sendiri kalau nak kepastian..

Jadi, kesianlah kawan-kawanku, yang sedang menuntut dalam profesion perguruan. Yang sudah grad pun ada, masih menunggu jawaban yang tak kunjung tiba. Kalau dulu, orang beranggapan profesion perguruan adalah pilihan terakhir bagi memperoleh pekerjaan, kini tanggapan itu kenalah dihapuskan. Kenapa? Sebab kerajaan pun dikatakan tidak mampu membiayai gaji dan elaun-elaun mereka.


Persoalannya, lambakan graduan dan siswa/i pendidikan di Malaysia, bahkan ada yang di luar negara, bakal menghadapi dilema yang sangat besar. Apa prospek pekerjaan mereka? Mampukah mereka bertetap hati dalam bidang perguruan andai terpaksa menunggu cukup lama sebelum memperoleh sebarang pekerjaan? Bila kutanya mereka, sudah ada jawapan dari mereka. Ada yang mahu menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, ada yang mahu lepak-lepak di rumah, ada yang ingin menceburi bisnes dan keusahawanan. Tak kurang juga ada yang tak tahu nak buat apa.

Tak kurang juga timbul tanda tanya pada diriku, adakah Malaysia sekarang benar-benar menuju ke arah penswastaan pendidikan? Mungkinkah dalam 10-20 tahun akan datang ini menampakkan Malaysia ke arah itu? Zaman itu bakal tiba juga. Dan pada waktu itu, negara kita ini bakal dipenuhi dengan sekolah-sekolah swasta, yang dimiliki oleh syarikat-syarikat dan mungkin juga orang perorangan. Jangan terkejut suatu masa nanti akan terlihat nama sekolah seperti SK SHELL BHD, SK GUTHRIE BHD dan SMK ING INSURANCE. Mungkin juga gelaran SK dan SMK itu terhapus dan digantikan dengan sistem sekolah unikular (betul ke nih), tiada lagi sistem vernakular dan anakular (pronounced as : anak-ular).

Masa ni, profesion perguruan akan kembali hangat dan digilai. Digilai kerana gaji yang ditawarkan cukup tinggi, dan para guru bakal menikmati pelbagai insentif tambahan lain selain memperoleh tempoh cuti yang lebih lama dari mana-mana pekerjaan yang mendapat label 'profesion'.


Padaku, perkara ini akan berlaku juga suatu masa nanti. Cuma bila dan siapa pencetusnya, itu yang perlu kita tunggu dan lihat. Dan, satu fakta yang amat memeritkan adalah pada waktu inilah perbezaan kelas penduduk akan lebih terserlah. Seperti yang kita lihat di Indonesia (mintak maaf kalau menyebabkan bilangan buluh runcing bertambah), di Filipina dan negara-negara lain yang sewaktu dengannya. Yang miskin dan papa, akan keciciran. Yang kaya raya pula boleh menikmati pendidikan yang sempurna.

Harapanku, perkara itu tidak berlaku. Moga-moga khabar angin itu adalah satu angin lalu saja, bukan ribut apatah lagi taufan yang menghancurkan. Sekiranya apa yang dihebohkan itu ada benarnya, semoga kita semua dapat mencari jalan penyelesaian yang paling terbaik sekali...

Wassalam..

Monday, October 5, 2009

jom derma darah...

Assalamualaikum..

Menurut ramai doktor2, kebanyakan hospital di Malaysia ni tengah mengalami kekurangan bekalan darah. Marilah sama2 kita menderma darah. InsyaAllah tidak akan mati. Marilah sama-sama kita membantu mereka yang memerlukan.


Semoga apa yang kita usahakan diterima Allah sebagai sebahagian dari amal soleh.

Sunday, October 4, 2009

mari kita berkorban..

Assalamualaikum..

Malam ni (atau pagi ini), kuingin kongsikan petikan ayat dari surah at-Taubah yang menyebut tentang kepentingan bermujahadah dan berbelanja pada jalan Allah. InsyaAllah sama-sama kita hayatinya.

‘Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereeka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah; maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil, serta alQuran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripadaAllah? Oleh itu bergembiralah dengan jualbelinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jualbeli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.’
(at-Taubah 9:111)

Menurut tafsir pimpinan Rahman, ayat ini menyatakan galakan Allah kepada hamba-hambaNya supaya berjuang pada jalan Allah, menegakkan Islam kerana Allah telah membalas kesungguhan mereka yang berbuat sedemikian dengan ganjaran Syurga. Dalam ayat tersebut juga, telah disebut bahawa untuk mendapat ganjaran sedemikian, ada yang membunuh musuh dan ada yang gugur syahid.

Persoalan mula bermain di minda. Adakah kita perlu membunuh bagi mendapatkan Syurga? Dan apakah kita mesti terbunuh untuk memperoleh syurga? Maka sepatutnya kita lihat sambungan pada ayat ini.

‘(Mereka itulah): orang-orang yang bertaubat, yang beribadah, yang memuji Allah, yang mengembara (untuk menuntut ilmu dan mengembangkan Islam), yang ruku', yang sujud, yang menyuruh berbuat kebaikan dan yang melarang daripada kejahatan, serta yang menjaga batas-batas hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman (yang bersifat sedemikian).’
(at-Taubah 9:112)

Ha, itulah maknanya bermujahadah di jalan Allah. Tidak hanya terikat pada maksud peperangan dan persenjataan semata-mata. Perkara ini selaras dengan norma kehidupan. Seperti yang kita sedia maklum, dalam kita menempuh segala perkara tersebut, sudah pasti terdapat kebarangkalian kita akan terbunuh atau pun membunuh (dalam perkara-perkara yang dibenarkan syariat Islam).

Cuma, ingin sekali kupesan. Mengorbankan diri dan harta semata-mata untuk tujuan di atas (yang ditebalkan), itu juga sebahagian dari jualbeli yang Allah nyatakan. Yakinlah wahai saudaraku, sekiranya kita berbuat sedemikian maka kita berada di jalan yang benar. Janganlah khuatir, janganlah sangsi dan janganlah ragu-ragu untuk mengeluarkan belanja, meletakkan diri dalam kepayahan semata-mata untuk melakukan perkara-perkara tersebut. Lakukanlah dengan bersungguh-sungguh dan dengan iltizam yang tinggi. Jangan cepat mengalah, dan jangan mudah melatah. Teruskan, dan terus menerus dalam perjuangan. Dengan izin Allah, pasti Syurga itu dikurniakan kepada kita.

Semoga coretan kali ini memberi motivasi yang sebaiknya bagi mereka yang mahu, dan menghadiahkan hasil yang memberansangkan.

Wassalam..

Saturday, October 3, 2009

BOM : Barah Orang Melayu

Assalamualaikum..

Sebenarnya, barah itu tidak hanya berupa barah fizikal yang membunuh. Terdapat juga barah lain yang 'membunuh' minda dan perkembangan masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Penyakit ini sebenarnya 'common' pada sebahagian dari kita, termasuklah diri ini juga. Jadi rasanya elok juga bagiku mengupas isu yang lazim kuperhatikan dalam masyarakat kita. Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa aku suka sangat hentam orang Melayu? Jawapannya, aku juga Melayu, dan aku ingin diriku serta bangsaku hebat dan memberi manfaat kepada seantero dunia. Kali ini, aku nak kongsi perkara yang kurasa kurang bagus (bahkan telah menjadi barah) pada orang Melayu moden. Tidak mungkin boleh diamalkan lagi perkara-perkara seperti ini.

1. Aqidah tidak ditekankan, Ibadah diringan-ringankan, Feqah dirumitkan

Melayu Islam di Malaysia secara tipikalnya lebih takut hantu dari takut Allah. Acap kali kita dengar tentang 'adab' orang Melayu, bila masuk hutan kena minta izin dari 'atok', kena mintak ampun dan maaf bila nak buang air, dan sebagainya lagi. Bukankah kita ini manusia, sebaik-baik ciptaanNya dan alam semesta itu dicipta untuk berkhidmat kepada manusia? Tidak perlu semua itu, cukup dengan hormatnya kita pada mereka dan tidak diganggu mereka itu. Berbalik kepada persoalan pokok, Aqidah kita ummat Islam di Malaysia. Aqidah yang longgar menjadi penyebab lahirnya ajaran sesat yang amat bertentangan dengan tauhid yang menjadi pegangan kita, ummat Islam. Akibat kerapuhan pegangan inilah, kita lemah. Begitu mudah sekali kita tunduk dengan dakyah-dakyah musuh-musuh Islam yang tidak konkrit, bahkan amat mudah diruntuhkan. Akibat tiada keyakinan yang sebenar-benar yakin terhadap Allah dan RasulNya, maka bertambah mudah untuk kita diserang dan dikelirukan dengan penipuan mereka. Dan inilah yang sebenarnya meracuni diri, hati, dan pemikiran kita, Melayu Muslim di Malaysia. Wahai bangsaku, perkemaskanlah peganganmu, perhebatkanlah keyakinanmu. InsyaAllah, tiada lagi ketakutan bagimu, melainkan ketaqwaan kepada Allah yang Maha Esa.

Kemudian, masyarakat kita juga gemar meringan-ringan pendidikan ibadah kepada anak-anak. Mungkin ada antara kita pernah alami situasi seperti ini. Dulu, masa kecik-kecik, sememangnya kita begitu bersemangat dalam melaksanakan ibadah, khususnya solat. Tapi bila kita ditimpa penyakit, seperti demam, mudah saja ibu bapa menyatakan, "Adik sakit, tak payah solatlah. Takpa, orang sakit." Walhal, orang sakit pun mesti menunaikan kewajipan solat itu. Rukhsah telah Allah ajarkan. Mungkin kita beranggapan, si kecil tidak dapat memahami rukhsah dalam solat (akibat kompleksnya masalah feqah-akan dikupas selepas ini), jadi tidak perlu kepada menerangkan tentang adanya kelonggaran yang Allah berikan kepada hambaNya dalam beribadah. Keadaan ini sebenarnya menyebabkan si anak membuat kesimpulan, 'bila sakit tak perlu solat'. Suatu kesimpulan yang teramat salah, hasil kesilapan dalam mendidik anak-anak.

Kemudian, masyarakat kita gemar merumitkan permasalahan feqah, yang sebenarnya tidaklah sesukar yang disangka. Bersuci itu mudah, tapi akibat kekeliruan dan kecelaruan kita dalam menilai sesuatu permasalahan feqah menyebabkan perkara ini menjadi satu lagi barah yang amat menyakitkan. Solat itu mudah, tapi kebingungan itu menyelubungi pemikiran. Semakin ramailah yang meremeh-remehkan solat. Dan perkara yang sama terpalit pada ibadah puasa dan zakat. Perkara memerlukan penjelasan yang lebih panjang sekiranya ingin dikupas secara mendalam.


2. Meluruskan saf solat tetapi tidak merapatkannya.

Mungkin mereka terlupa, rapatnya saf solat itu bererti merapatkan diri antara satu sama lain, hingga bertemu bahu, bahkan dalam tulisan Ustaz Zaharuddin, perlu hingga bersentuhan sisi kaki ahli-ahli jemaah solat.

“Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.”
(Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Sedih bila ahli jemaah solat merasakan bersentuhan bahu itu satu benda yang menyusahkan dan sia-sia. Padahal itulah sebetul-betul cara membentuk saf solat. Hingga 'pak2 aji' pun masih tak faham kehendak Islam dalam merapatkan saf solat. Penting untuk saf solat itu dirapatkan. Bahkan ada antara ulama' mengatakan tidak sah saf (bukan tidak sah solat) bila tidak dirapatkan saf solat, maka terputus fadhilat dan pahala saf dalam solat berjemaah. Kan rugi dah tuh.


3. Mudah cair bila dipuji, cepat melatah bila ditegur.

Ini pun satu kelaziman pada diriku dan pada ramai orang Melayu. Andai dipuji kelebihan kita, amat mudah kita menerimanya sebagai 'pujian ikhlas' lantas menjadikan si pemuji itu sebagai rakan rapat yang amat akrab. Akibat pujian melambung yang tidak bertepi, kita jadi lupa dan lalai. Akhirnya sikap ini memakan diri sendiri. Hal yang berbeza berlaku bila kita ditegur. Melatahnya bukan main lagi. Kita jadikan dia musuh dunia akhirat. Segala perkataanya menjadi racun, segala tindak-tanduknya umpama panahan berbisa, segala-galanya gelap belaka. Oh, bangsaku. Lupakah kita akan dunia yang penuh tipu daya? Sedarlah sebelum kita terlambat.

4. Tidak matang dalam berpolitik.

Ini pun satu masalah yang amat merunsingkanku. Bila aku sokong parti A, dan dia B, maka kita tidak sebulu, kau musuhku sampai mati. Jenazahmu takkan kuendahkan. Partiku ini parti yang benar, hingga APA SAHAJA yang dilakukan oleh ahli partiku adalah benar belaka. Parti mereka itu parti neraka, segala apa yang mereka buat adalah salah semata-mata. Oh, bodoh dan bangang mereka yang bersikap sebegitu. Berbeza pandangan dan fahaman politik tidak seharusnya menjadikan kita buta dalam membuat penilaian. Tidak sefahaman dalam pandangan tidak membolehkan kita menghalalkan darah saudara seIslam. Seharusnya kita sokong dan membantu dalam menegakkan kebenaran, dan saling menegur dalam perkara-perkara kebatilan. Buatlah pertimbangan yang sewajarnya.

5. Hormat orang tua, hingga kesalahannya tidak boleh ditegur/diperbetulkan.

Ini juga satu kebiasaan kita. Bagiku, tidak boleh bagi seseorang itu membiarkan orang lain melakukan kesalahan, biarpun dia lebih tua dari kita. Perlu diusahakan, dengan sebaik mungkin untuk menidakkan keburukan dan maksiat, supaya kita tidak menjadi golongan yang dimurkai.

"Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh.
Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. Engkau melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang kafir (musyrik) teman rapat mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka sediakan bagi diri mereka (pada hari akhirat kelak) iaitu kemurkaan Allah menimpa mereka, dan mereka pula tetap kekal di dalam azab (Neraka). Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyrik) sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasik."
(al-Maidah: 78-81)

Setakat ini dulu coretan kali ini. InsyaAllah, akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

Wassalam..