Tuesday, October 20, 2009

selamat mengharungi peperiksaan..

Assalamualaikum..

Alhamdulillah kita masih lagi dikurniakan nikmat kehidupan di atas muka bumi ini dan terus diberi segala macam nikmat yang datang tanpa henti setiap hari. Memandangkan musim peperiksaan bagi penuntut-penuntut di IPT semakin hari semakin dekat, bahkan ada yang sedang mengharunginya sekarang ini, maka menjadi suatu kelaziman untuk melihat dan mendengar luahan hati dari golongan ini yang mendakwa mengalami tekanan perasaan akibat bebanan pelajaran. Ada juga yang mempersoalkan kewajarannya meneruskan pembelajaran dalam bidang yang sedang diceburi, dan turut mencadangkan buat diri sendiri akan alternatif yang boleh diambil sekiranya tidak lagi berminat dan bersemangat untuk meneruskan segala apa sedang yang dilakukan sekarang. Mungkin ada antara kita sendiri pernah melafazkan penyesalan kerana memilih untuk menyambung pelajaran dalam sesuatu bidang itu, dan membayangkan untuk berpatah balik ke masa lalu untuk 'memperbetulkan' pilihan yang telah tersedia di depan mata. Tak kurang juga yang mencadangkan agar ditukar bidang pada saat akhir kepada suatu lapangan yang amat kontra dengan apa yang dilaluinya sekarang ini.

Mari sama-sama kita teliti dan fahamkan mesej Allah yang dinukilkan melalui Firmannya:

...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia amat baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.
(al-Baqarah 2:216)

Apa yang telah berlaku ini adalah apa yang telah ditakdirkan oleh Allah, dan itulah yang sebaik-baik perkara yang sepatutnya terjadi kepada kita. Maka seharusnya kita hadapi segala cabaran yang mendatang dengan tatacara yang terbaik dan menurut syariat Allah. Mungkin kita boleh perbaiki mana-mana kelemahan yang ada, dan mantapkan segala yang telah baik itu. Sebagai orang Islam, kita tidak dapat lari dari menjadikan alQuran dan asSunnah sebagai sumber rujukan utama dalam menilai dan menyelesaikan permasalahan yang timbul, walaupun permasalahan tersebut merupakan permasalahan kecil yang kurang signifikasinya pada sesetengah manusia. Oleh itu, mari kita rujuk Firman Allah dalam alQuran.

Katakanlah (wahai Muhammad) : "Sesungguhnya solatku, dan ibadatku, dan hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam”.
(al-An'am 6:162)

Telah jelas dalam al Quran yang mulia itu, bahawa sesungguhnya segala apa yang kita lakukan sepanjang kehidupan ini perlulah diletakkan satu matlamat yang agung padanya. Iaitu kepada Allah. Maka cara utama untuk mengekalkan semangat dalam sesuatu pekerjaan itu adalah dengan meletakkan matlamatnya kerana Allah. Pasti akan dibalas dengan segala macam kebaikan dan ganjaran yang berlipat kali ganda. Pun begitu, usaha ini memerlukan keteguhan iman dalam hati seorang manusia, kerana setiap apa yang bakal Allah balas itu banyaknya merupakan ganjaran di alam Ghaib (bukan alam jin/hantu dsb). Pengurniaan darjah kemuliaan di sisi Allah itu sudah pasti tidak boleh terlihat dengan mata kasar, lantas dalam meyakini pembalasan Allah, penting hadirnya iman yang utuh dari hati yang bersih. Oleh sebab itulah, betapa pentingnya kita berusaha untuk memantapkan iman di dada agar mampu memandu perjalanan hidup kita.

Apabila kita telah temui keyakinan (iman) itu, maka perlu pula kita bertetap pada jalan yang telah dipilih. Firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata "Tuhan kami ialah Allah", kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham), "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.
(Fussilat 41:30)

Istiqamah juga telah disarankan oleh Rasulullah dalam suatu dialog antaranya dengan seorang sahabat yang bertanya.

Daripada Abu `Amru - atau digelar juga Abu `Amrah - Sufian ibn Abdullah r.a. beliau berkata:
Aku berkata: Wahai Rasulullah! Ajarkan untukku dalam lslam suatu ucapan yang aku tidak perlu lagi bertanya kepada orang lain selainmu. Baginda bersabda: Ucapkanlah: Aku beriman kepada Allah.Kemudian hendaklah engkau beristiqamah.
(Riwayat Muslim)

Untuk beristiqamah dalam sesuatu pekerjaan amatlah payah. Pasti banyak dugaan dan ujian yang akan datang, silih berganti ujian senang dan susah itu menyusul sepanjang perjalanan perjuangan itu berlangsung. Namun, sekiranya asas perjuangan itu sudah kukuh, segala ujian dan dugaan pasti dapat ditempuh dengan baik, kalaupun tidak sempurna. Asas yang kukuh itu hanyalah iman yang shahih kepada Allah dan berbuat sesuatu pekerjaan juga keranaNya. Di samping itu, tak salah sekiranya kita sertakan sekali 'enhancer' kepada pekerjaan tersebut, yang mungkin boleh terdiri daripada faktor-faktor lain seperti keluarga, masyarakat dan sebagainya. Dengan adanya perkara-perkara sebegini, pasti 'fluctuation' yang terjadi pada semangat kita akan dapat dikurangkan, hingga tidaklah terlalu menjejaskan pergerakan kita.

Memetik apa yang sering Ustaz Hasrizal sebutkan dan war-warkan, 'erti hidup adalah pada memberi'. Mungkin itulah juga yang dapat kita jadikan sandaran pada setiap apa yang kita lakukan. Andaikata kita masih berada di universiti, sebagai seorang pelajar dalam bidang perubatan, mungkin kita boleh menganggap dan menanam minat untuk memberi dan menyumbang kepada masyarakat melalui apa yang telah dan sedang kita pelajari ini. Lihatlah keluar jendela kehidupan kita, hingga kita dapat melihat mereka yang diluar sana. Sama ada sedar atau tidak, pasti ada yang mengharapkan bantuan dan perkongsian daripada kita. Mereka ini lazimnya dahagakan iman, laparkan kasih sayang.

Ada juga yang mengatakan bidang yang diceburinya itu terpaksa dilalui bukan kerana minatnya sendiri, tetapi lebih kepada minat dan permintaan/rayuan dari ibu bapa dan sanak saudaranya. Positifkan pemikiran dan penerimaan kita terhadap sesuatu perkara. Jika ini sebabnya semangat itu tidak hadir, maka kita boleh juga menjadikan moto Ustaz Hasrizal sebagai satu panduan mempositifkan segala tanggapan negatif yang telah kita tanamkan dalam jiwa. Anggaplah dan niatkanlah segala usaha kita itu adalah sebagai suatu hadiah yang tanda penghargaan kepada ibu bapa, yang telah banyak bersusah payah demi kita sedari kita di dalam alam rahim lagi. Kita sudah pasti tidak dapat membalas segala jasa mereka walau sebesar manapun yang telah kita lakukan, tapi sekurang-kurangnya 'effort' untuk menunjukkan penghargaan ini dapat sedikit sebanyak menyejukkan jiwa mereka. Apakah kita tidak mahu menjadi anak atau keturunan yang menjadi penyejuk hati bagi si ibu dan ayah memandangnya?

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata, "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertaqwa".
(al-Furqaan 25:74)

Sebenarnya banyak lagi yang boleh kita jadikan faktor pemangkin kepada kita dalam meneruskan perjalanan kehidupan ini. Apa yang penting ialah meletakkan Allah dan RasulNya sebagai keutamaan yang tetinggi dan diikuti dengan lain-lain perkara. Jangan dilupa faktor doa dan pengharapan kepada Allah apabila melakukan setiap perkara.

"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat."
(al-Ikhlaas 112:2)

Khas bagi yang bakal menghadapi peperiksaan, ambillah pengajaran dari Kalamullah dibawah ini.

...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)...
(at-Talaaq 65:2-3)

Wallahu a'lam..

Wassalam...

No comments: