Thursday, October 15, 2009

teguhkan hati itu..

Assalamualaikum..

Mari kita lihat petikan sabdaan Rasulullah mengenai peranan hati yang amat penting dalam kehidupan seharian.

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer, beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah bersabda:

Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.
(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim)

Melalui sabdaan Baginda ini, sebenarnya banyak lagi perkara yang boleh dibincangkan. Tapi kali ini, pokok perbincangan adalah mengenai hati. Perihal hati yang semestinya kita jaga dan didik. Jelas dalam hadis ini, Rasulullah menerangkan hatilah yang mengawal baik buruk perilaku manusia itu. Jadi, tak hairanlah bila ada ilmuan Islam yang mengatakan hati itulah raja dan pemerintah kepada seluruh anggota badan termasuklah akal fikiran manusia. Sebagaimana seorang pemerintah yang baik akan dapat mentadbir jajahan kekuasaannya dengan baik, begitu jugalah hati yang baik, pasti dapat mengawal tindak-tanduk seseorang individu itu sendiri. Sebaliknya, seorang pemerintah yang lemah akan mengakibatkan pelbagai masalah dan menimbulkan huru hara yang tidak terkawal. Itulah juga hakikat yang akan terjadi kepada seseorang manusia yang tidak memiliki hati yang baik. Apabila sesuatu jiwa (hati) itu dikurniakan hidayah Allah, maka disitulah anak tangga pertama dalam memperoleh hati yang baik. Kemudian perlulah hati itu diasuh dan dididik dengan iman. Kemudian akan dituruti dengan segala amalan soleh yang pastinya mudah bila hati sudah beriman dengan Aqidah yang shahih.

Dengan iman, setiap manusia akan dapat mendidik hati menjadi raja dan pentadbir diri supaya menjadi elok dan sejahtera. Pemahaman kebanyakan kita, Iman itu terhasil dari pengucapan kalimah syahadah, iaitu penyaksian dan pengakuan diri terhadap kekuasaan dan keagungan Allah. Sebenarnya, pembukitan iman masih tidak cukup dengan hanya melafazkan dengan penyaksian di bibir dan lidah. Petanda keimanan akan terbukti bukan sekadar dengan perkataan semata-mata, tetapi ia perlu dimulakan dengan iktiqad di hati bahawa sesungguhnya tiada yang tuhan yang berhak disembah melainkan Allah semata-mata, dan Muhammad bin Abdullah itulah utusanNya yang membawa petunjuk dari Allah. Kemudian pasti dituruti dengan amal perbuatan oleh diri sendiri.

Apabila seseorang individu itu mempunyai hati yang beriman, amatlah mudah baginya menafsirkan keimanannya melalui perbuatannya dan perkataannya. Ini kerana hatilah raja yang menentukan hala tuju seseorang itu. Lihatlah saja golongan yang awal-awal menerima Islam dengan keimanan dan keyakinan yang amat-amat teguh seperti Abdullah bin Uthman bin Amir (Abu Bakr), Bilal bin Rabah, Abdul-Rahman bin 'Auf, Ali bin Abi Talib, Summayyah dan ramai lagi. Oleh sebab teguhnya pergantungan mereka kepada Allah, maka mereka dikurniakan keberanian dan kedegilan yang amat sangat dalam mempertahankan iman dalam diri. Semua kita tahu betapa dahsyatnya Bilal dan keluarga Ammar bin Yasser didera oleh kaum musyrikin Mekah. Namun, mereka sanggup tempuhi dan tetap teguh dalam perjuangan menegakkan kebenaran dan meranapkan tembok-tembok kebatilan. Bagaimana mereka mampu memperoleh semua itu? Tidak lain dan tidak bukan, hasil didikan iman dalam diri mereka. Atas usaha mereka, generasi Islam yang mendatang selepas mereka maju dan disegani di seluruh pelusuk dunia. Seperti yang telah kita maklum pada sejarah Islam, Khulafa' ar-Rasyidin, Kerajaan Islam Ummaiyah, Kerajaan Islam Abbasiyah dan Kerajaan Islam Uthmaniyah. Tidak mustahil bagi kita untuk kembali kepada tingkatan kemuliaan seperti itu, tapi kita perlu menggunakan strategi yang tepat dan berkesan. Strategi itu adalah pelan dan tindakan yang sama telah dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabatnya. Mendidik jiwa lantas meneguhkan keyakinan pada Allah dan RasulNya.

Wahai saudaraku sekalian. Marilah sama-sama kita bangkit dari kelalaian dan kealpaan, perbetulkan kesalahan dan kesilapan, serta kembali kepada segala perkara yang dikehendaki dan diperintahkan Allah dan RasulNya. Hilangkanlah segala gusar dan gundah hati terhadap perkara yang sia-sia. Binalah yakin pada Allah dan RasulNya.

Marilah kita kembali beriman..

No comments: