Tuesday, March 2, 2010

agama dan ilmu

Assalamualaikum..

Semua tahu Islam adalah agama yang lengkap lagi melengkapi. Pergilah ke mana sahaja, buatlah apa jua sekalipun. Semuanya ada diberi panduan oleh Islam. Bukti Islam ini benar, dan diturunkan untuk manusia sejagat, tanpa mengira bangsa, latar geografi dan lain-lain.

Dari sekecil-kecil aspek kehidupan hinggalah ke sebesar-besar keadaan. Semuanya dilingkupi oleh Islam. Semuanya ada ditunjukkan oleh Islam melalui dua dalil, al-Quran dan as-Sunnah. Siapa sangka, kaedah mencegah kehamilan (secara natural) sudahpun diselitkan dalam al-Quran sejak lebih lebih dari 1400 tahun dulu.

Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya.
(al-Baqarah 2:233)
Kajian saintifik menerangkan maksud petikan ayat al-Quran di atas. Dengan penyusuan badan kepada bayi, selain memberi nutrien penting kepada bayi, faedah tambahan yang bakal diperoleh adalah dapat membantu mencegah kehamilan.

Tapi malang...

Apabila Islam hanya berfungsi sebagai suatu bentuk adat dan kebiasaan yang menjadi rutin seharian, keindahan dan kesempurnaan Islam terlerai dan terpisah dari pandangan dan pemikiran kita. Fenomena ini kemudiannya menyebabkan pegangan (aqidah) kita rapuh, mudah goyah dan senang untuk meragui kebenaran Islam. Hasilnya, ramailah yang termakan pujukan dan dakyah musuh-musuh Islam.

Jadi bagaimana caranya untuk mendapatkan keyakinan yang utuh kepada Islam? Jawapannya - ILMU.

Ilmu adalah jawapan yang utama. Islam terbina dengan ilmu, yang mengajar ummahnya menganalisis dan menilai. Kemudian membuahkan keputusan yang konkrit dan teguh. Islam menuntut agar ummahnya banyak berfikir, terbukti dengan banyak perintah-perintah dan sindiran Allah dalam al-Quran. Juga melalui perkataan Rasulullah melalui hadis dan sunnah Baginda.

Tapi, tak ramai yang mampu mendalami ilmu agama secara mendalam. Disebabkan perbezaan bahasa (bahasa Arab), disebabkan tidak menuntut dalam bidang syari'ah. Mungkin ada lagi sebab lain. Lantas menidakkan peluang mendalami ilmu.

Apakah begitu hakikatnya? Rasanya tidak...

Perlu diingat, al-Quran itu diturunkan bukan hanya untuk ustaz/ustazah dan ulama' sahaja. Al-Quran itu diturunkan untuk manusia sejagat. Semua manusia boleh mendapatkan manfaat darinya. Tafsir dan terjemahan al-Quran pula dapat membantu menyelesaikan masalah 'language barrier'. InsyaAllah membantu. Dengan membaca terjemahannya, insyaAllah mesej dari al-Quran itu akan sampai kepada pembacanya. Dan ia datang bersyarat; perlu ada kemahuan dan usaha berfikir untuk membuahkan faham.

Pengakuan ikhlas dari diri ini.

Dengan membaca dan menghayati terjemahan al-Quran, pegangan dan pertautan hati kepada Allah dan Islam semakin utuh.

Suatu kelaziman. Bila pegangan hati semakin padu, diri mula melangkah merapatkan diri menghampiri Islam. Kesedaran hadir dalam diri. Hanya dengan Islam sahaja ketenangan dan keamanan pasti wujud. Kerana keimanan adalah berdasarkan bukti (evidence-based Iman and Islam), bukannya omongan kosong apatah lagi khayalan yang merapu.

Janganlah Islam itu hanyalah adat dan rutin harian yang kosong dari roh nurani. Sebaliknya pupuklah diri serta semailah hati dengan iman dan taqwa; moga Islam bangkit dalam diri serta menjadi tunjang kepada kekuatan hati.

Dan janganlah ilmu itu, tanpa mengira apa jua ilmu sekalipun, hanyalah sebagai maklumat dan data kasar (raw data) yang kekal atas kertas. Sebaiknya, luangkanlah masa menganalisa serta mengkaji berdasarkan akal fikiran yang waras; moga beroleh manfaat yang berguna serta mampu mendekatkan kita padaNya.

Ingatlah kegemilangan Islam dulu-dulu tidak menghalang kemajuan dan pemodenan ummatnya, bahkan menggalakkan serta memangkin perubahan. Cuma, Islam membataskan ruang yang perlu dan boleh diselidiki. Andaikata dibatasi, pasti akan menyebabkan kerosakan, baik dari segi keruntuhan sosial mahupun kemusnahan alam.

A video to share with.. Sila tonton sampai habis..



Wassalam..

No comments: