Assalamualaikum..
Sudah menjadi kelaziman manusia, apabila ditimpa kesusahan dan ujian barulah dia kembali pada Tuhannya. Bukan sekali dua, tapi berkali-kali. Ada yang diulang-ulang hinggalah tibanya saat kematian.
Andaikanlah seorang anak secara tak sengaja memecahkan pasu bunga yang dibeli dari luar negara. 'Kesalahan' yang pertama kalinya itu akan dimaafkan. Lusa, si anak itu sekali lagi terpecahkan pasu bunga yang agak mahal harganya, akibat dilanggar dengan basikal. Si bapa mungkin memaafkannya sekali lagi. Tapi mungkinkah dia akan mengampunkan 'dosa' anaknya itu sekiranya dia telah memecahkan pasu itu buat ke sekian kalinya. Mungkin ya, dan mungkin tidak. Lazimnya, pasti ada bibit kemarahan dalam jiwa si bapa.
Namun tidak bagi Allah. Dialah yang Maha Pengampun. Dia bersedia mengampunkan hambaNya, tanpa syarat. Mana buktinya?
"Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". (al-Maidah 5:74)
Semua kita sedia maklum kisah seorang pembunuh bersiri yang telah membunuh 100 orang, dan dalam perjalanan menuju taubat. Di tengah jalan, dia menemui ajalnya tanpa sempat menunaikan taubatnya. Pun Allah terima taubatnya, hanya kerana niatnya untuk kembali kepada Tuhannya, dalam keadaan bersih dan suci. [baca sini]
Banyak lagi sebenarnya kisah yang menjelaskan betapa Allah itu Maha Pengampun. Maka marilah kita bersegera memohon keampunanNya, walaupun merasakan diri tidak melakukan apa-apa dosa. Lazimilah beristighfar, mudah-mudahan dibantu dan dimudahkan urusan.
Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir. Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat. Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.(A-li 'Imran 3:131-136)
No comments:
Post a Comment