Monday, July 20, 2009

Menghayati al-Quran... (episod satu)

Assalamualaikum

Setinggi-tinggi pujian yang selayaknya bagi Allah, pencipta dan pemelihara alam serta segala isi-isinya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad saw. Juga bagi sahabat-sahabatnya, serta para pengikutnya yang setia dan terus menerus berjuang demi menegakkan kebenaran (hak) serta meruntuhkan yang batil.

Kali ini saya ingin membawa para pembaca sekalian untuk merenung dan meneliti suatu aspek yang saya kira amat penting, selepas Iman (aqidah tauhid yang utuh) serta Solat (tiang penguat agama). Perkara yang saya ingin sentuh adalah berkaitan dengan alQuran.

Saya kira pada kerangka usia awal dua puluhan, ramai yang telah menghabiskan pembacaan alQuran sebanyak sekurang-kurangnya sekali. Saya akui, Quran itu hanya habis saya setelah menjangkau alam sekolah menengah. Agak lewat jika dibandingkan dengan rakan-rakan seusia pada ketika itu yang begitu berbangga dengan kenyataan bahawa diri mereka telahpun meng'khatam' alQuran sedari bangku sekolah rendah lagi. Hakikatnya, saya terasa amat malu pada masa itu kerana diri ini sperti amat kerdil dan hina berbanding mereka. Namun keadaan itu tidak sedikit pun mematahkan azam saya untuk mendampingi buku itu serapat-rapatnya.

Kini saya rasa boleh berbangga kerana buku itu telah saya habiskan dari muka depan ke muka paling belakang sekali, yang saya lakukan beberapa kali. Rasanya, ini hasil semangat ingin memperbaiki mutu pembacaan dan keinginan untuk mengaut sebanyak-banyak manfaat daripada penghayatan alQuran itu sendiri.

Berbalik kepada tajuk perbincangan. Sungguh, saya ingin mengajak diri sendiri dan semua manusia, khususnya para muslimin untuk kembali berpaut pada jajaran alQuran dan menggenggam erat akan setiap mesej di dalamnya. Saya akan mulakan siri ini dengan pengenalan yang bersifat ringan dan lembut. Ini disebabkan sifat fitrah manusia yang gemarkan kelembutan dalam menerima sesuatu, tanpa mengira sama ada berbentuk lisan dan sebagainya.

AlQuran ini diturunkan buat manusia. Ia tidak diturunkan untuk haiwan, bukan juga gunung ganang apatah lagi tumbuh-tumbuhan. Ia merupakan perkataan Allah yang mulia, yang menceritakan kisah ummat terdahulu, menggambarkan perihal yang bakal tiba, membongkar rahsia yang tersorok. Terkandung juga dalamnya hukum hakam pembimbing manusia menempuh jalan dunia, menyuluh jalan menuju akhirat.

Mulianya alQuran hinggakan begitu banyak sekali kelebihan dan fadhilat yang dikaitkan dengannya dan pembaca serta pengamalnya. Begitu banyak sekali hadith yang memperlihatkan keagungan alQuran itu. Bahkan, pembaca atau orang yang mempelajarinya juga beroleh kemuliaan yang begitu tinggi. Antaranya hadith berikut:

"Yang terbaik antara kamu ialah orang yang belajar alQuran dan mengajarkannya"

(Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nisaa'i, dan ibnu Majah)

Lihat bagaimana Rasulullah memuji an mengangkat martabat mereka yang mempelajari alQuran lantas mengajarkannya kepada orang lain. Begitu juga perkataan-perkataan Allah yang termaktub dalam alQuran, yang sungguh hebat hinggakan dengan hanya membacanya sahaja, menyebabkan pahala berbondong-bondong memasuki 'akaun' pembacanya. Bahkan setiap huruf dalam alQuran itu menyebabkan setiap manusia memperoleh pahala. Hadith berikut menjadi dalil kenyataan ini:

"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka untuknya diberi satu 'hasanah' (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah bersamaan dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif lam dan mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) satu huruf, (lam) satu huruf dan (miim) satu huruf."

(Hadith riwayat Tirmidzi)

Hakikatnya, mereka yang tersekat-sekat dalam pembacaan tidak sepatutnya berhenti daripada terus membacanya. Tetapi mereka sepatutnya menggandakan usaha untuk membaca alQuran kerana di situ letaknya rahmah Allah. Berdasarkan hadith Rasululah daripada 'Aishah r.anha:

"Seseorang yang ahli dalam alQuran akan berada bersama malaikan pencatat yang mulia dan jujur. Seseorang yang membaca alQuran dengan terekat-sekat dan bersusah payah untuk membacanya akan mendapat dua ganjaran."

(Hadith riwayat Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, dan ibnu Majah)

Jadi rugilah mereka yang berputusa asa, mereka yang malu-malu dan mereka yang malas serta enggan berubah. Sebenarnya, Allah itu amatlah murah dalam mengurniakan kebaikan ke atas hamba-hambaNya. Apa yang silap adalah keingkaran manusia itu sendiri. Hal ini bersangkutan dengan ayat berikut:

"Dan Sesungguhnya Kami sediakan neraka Jahannam itu banyak (isinya) daripada kalangan jin dan manusia. Yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (akan bukti-bukti keEsaan Allah), dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (akan ajaran dan nasihat); Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

(al-A'raaf 7:179)

Alhamdulillah cukup setakat ini penulisan saya. InsyaAllah akan saya sambung pasa masa akan datang dan mengupas perkara ini dengan lebih mendalam. Semoga apa yang saya coretkan bertepatan dengan kehendak Allah dan RasulNya serta memberi manfaat kepada semua, insyaAllah.

Wassalam..

No comments: