Friday, July 31, 2009

money..money..money

Assalamualaikum..

Semalam, terpampang berita yang mengatakan bahawa kerajaan pimpinan DS Najib telah melancarkan Amanah Saham 1Malaysia. Siap dengan pengumuman 50,000 pelajar IPT yang bakal memulakan sesi pembelajaran pada tahun ini akan diberikan 100 unit pertama. Ni yang buat aku dengki. Haih, mengapa mereka sahaja yang dapat?

Kalau masuk laman-laman web pembangkang, pasti ada yang akan menghentam dengan mengatakan DS Najib nak pancing undi bagi PRU13, kerana rata-rata yang bakal memasuki alam IPT pada tahun ini layak mengundi pada PRU13 kelak. Dah boleh agak la 'sentiment attack' terhadap PM kita nih.

Namun, dalam keghairahan untuk melabur, terasa sangsi dengan status AS1M. Bukan berniat untuk mengutuk, namun disebabkan kelalaian dalam selidik aspek syariah pada produk-produk terdahulu seperti ASM, ASB, ASN dan sebagainya, yang memperlihatkan kelemahan pihak PNB dan mana-mana pihak yang terlibat meneliti pengaliran modal yang terlabur dalam pasaran saham nasional itu. Sebelum ini, ramai di kalangan intelektual Islam di Malaysia mengeluarkan pandangan yang bercanggah dengan fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharuskan pelaburan dalam skim saham dibawah naungan PNB. UZAR telah pun memberikan penjelasan mengenai pendiriannya bahawa pelaburan-pelaburan ini tetap tidak menepati kehendak Islam.
(lihat Tak Puas Hati Isu ASB, Melabur dalam skim ASN dan ASB hukumnya harus, kata Jawatankuasa Fatwa)

Namun begitu, ramai di kalangan Melayu Muslim di Malaysia yang bertindak menghentam para ilmuan Islam ini dengan beranggapan kekolotan dalam pemikiran (menuduh cendekiawan Islam sebagai kolot) tidak membawa kepada kemajuan kepada masyarakat Melayu Islam. Betapa bodoh cara pemikiran yang terpengaruh dengan perang saraf oleh pihak liberalis dan orientalis. (Akan saya poskan tulisan mengenai sikap bodoh Muslim Malaysia yang gemar menyanggah ilmuan dan ulama yang ikhlas)

Sedang Rasulullah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang halal itu nyata dan yang haram itu pun nyata, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya) dari segala kesamaran, sesungguhnya ia telah memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, (maka) jatuhlah ia ke dalam (perkara) yang haram..."
(Bukhari dan Muslim).

Ingat!! Ini sabdaan Baginda yang mulia bermaksud:

“ Setiap daging yang tumbuh hasil dari sumber yang haram, maka neraka adalah lebih berhak ke atasnya (daging itu)”

Maka apa lagi yang hendak kita pertahankan? Fahamkanlah Islam dengan ilmu yang berlandaskan nas alQuran dan asSunnah yang shahih, bukan semberono buta tuli mencangkul lubang ular.

Mengenai pelaburan, saranan saya bersusahlah sedikit untuk mencari yang lebih baik, kerana di situ letaknya barakah. Sememangnya saya pun berminat melabur, mendapat perolehan harta yang dapat membantu keluarga. Tapi tidak akan Islam kukorbankan kerana untung dunia yang sedikit dan sementara.

Banyak lagi skim pelaburan yang disahkan halal oleh panel shari'ah. Mengapa masih hendak dipilih perkara yang bercanggah dengan Islam? Sudah-sudahlah dengan sikap bongkak dan bodoh itu. Cukuplah dengan melabel pejuang-pejuang Islam sebagai 'munafik yang mengeksploit agama untuk kepentingan diri'. Sedang mereka menegakkan Islam yang semakin jauh dari masyarakat. Hargailah mereka ketika masih ada dalam membetulkan kita yang tersalah, jangan dibalas dengan lontaran batu dan minuman beracun. Nanti bila Islam terus ditekan oleh musuh-musuhnya, baru kita cari-cari mereka, pinta bantuan yang rasanya tika itu tidak bermakna lagi.

Wassalam..

No comments: