Saturday, August 15, 2009

Menghayati Al-Quran (episode 2)

Assalamualaikum

Setinggi-tinggi pujian yang selayaknya bagi Allah, pencipta dan pemelihara alam serta segala isi-isinya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad saw. Juga bagi sahabat-sahabatnya, serta para pengikutnya yang setia dan terus menerus berjuang demi menegakkan kebenaran (hak) serta meruntuhkan yang batil.

Kali ini saya akan mengutarakan beberapa persoalan yang berlegar-legar di dalam kepala sejak sekian lama. Dan insyaAllah sama-sama kita menyusuri setiap isu ini dengan keterbukaan dan kelapangan minda.

Sikap manusia
Telah beberapa kali saya mendengar getusan perasaan ustaz yang saya kenali, menyatakan kegusaran hati mereka terhadap penerimaan dan pemahaman masyarakat Malaysia mengenai alQuran dan isi kandungannya. Kebanyakannya mengatakan yang alQuran di Malaysia hanya bertaraf buku-buku novel yang hanya dihabiskan bacaannya kerana ingin melepaskan diri dari bahana tertentu, bukan bertujuan menambah pemahaman dan keyakinan terhadap alQuran. Ada juga yang menyelar sikap 'meninggikan' alQuran di atas rak-rak buku, di atas almari dan di tempat yang tinggi hingga tak tercapai oleh sesiapa untuk mengambil lantas membacanya. Sehingga habuk memenuhi ruang yang terdedah pada alQuran itu. Ada juga dikalangan kita yang mengambil berat tentang kewajipan memberi pendidikan alQuran. Namun, apabila tugasan ini hanyalah berbentuk menyuruh anak-anak ke rumah guru-guru alQuran, terjadilah bermacam ragam. Cukup lucu dan memenatkan jika kita sendiri yang terpaksa berdepan dengan mereka. Namun ragam sebegini jika tidak dirawat, bakal memperlihatkan permasalahan yang lebih besar pada masa hadapan.

Antara lain, alQuran itu dianggap satu liabiliti kerana kita seperti terpaksa dan dipaksa membacanya hingga habis walaupun sepatah haram tidak difahami maksudnya. Maka maksud penurunan alQuran itu kurang dipenuhi. Ini kerana alQuran itu bukan sahaja berfungsi sebagai buku cerita (kisah-kisah Rasul dan umat terdahulu, kisah Akhirat), tetapi juga mempunyai maksud-maksud lain seperti flyers informasi (pengenalan dan penerangan mengenai sifat-sifat Allah), teks rang undang-undang (hukum-hukum dan undang-undang) dan juga berkeupayaan sebagai sumber pengubatan dan motivasi yang sejati. Akibatnya, lahir ketidakmahuan mendalami dan memperbaiki makna-makna dalam alQuran itu. Malah, ada yang setelah mengkhatam alQuran, langsung tidak mempunyai keinginan membelek helaian-helaian alQuran itu. Habis khatam, terus hitamkan alQuran dari pandangan, disorok-sorok di celah-celah almari, dalam rak buku dan sebagainya. Tidak lagi dibelek, dihayati mahupun mengambil sebarang pengajaran daripada apa yang telah tertulis di dalam alFurqan itu.

Ada juga yang menganggap alQuran sebagai sumber pendapatan. Mereka mengeksploitasi alQuran untuk memperoleh wang, pangkat dan nama. Apakah mereka tiada rasa malu kepada Sang Pencipta dan RasulNya? Benar, kita perlu kepada memperelok bacaan alQuran, namun bila ia telah menjadi suatu bentuk 'seni tampak' yang bersifat indah pada luarannya, tapi kosong pada pengisiannya, maka lebih baik bacaan kalimah-kalimah suci itu dibuat dengan kadar sederhana dan tenang. Tidak perlu kepada tarik-tarik suara yang melampau dan menyeksakan. Sebaliknya, jika kita mampu mengungkap sebarang mesej yang terdapat pada setiap ayat-ayat dan frasa-frasa dalam alQuran dengan alunan suara yang sesuai, maka itu adalah yang terlebih baik. Cuma masyarakat Malaysia tidak begitu mengambil berat akan hal ini. Lantas terhasillah qari yang hanya berfungsi pada majlis-majlis keraian dan keramaian, mengalunkan bacaan alQuran tetapi tidak membawa sebarang mafaat pun kepada dirinya mahupun golongan pendengar. Rugi lagi merugikan.

Beroleh pengajaran dan menyampaikan kebaikan.
Maka seharusnya saya dan kita semua perlu mendampingi alQuran. Perlu hadir jiwa tulus ikhlas untuk mendekati perkataan yang diungkap dengan begitu indah sekali. Kita harus memberatkan tentang penghayatan alQuran. AlQuran adalah tinggalan yang masih utuh, sumber kekuatan umat Islam. Sekiranya kita tidak ambil pusing tentangnya, maka rugilah kita. Selamanya kita akan terkebelakang. Selamanya kita akan tertindas. Selamanya kita akan terhina di bumi ini. Apa kita mahukan semua itu? Sudah tentu jawapannya adalah TIDAK. Jadi marilah sama-sama kita mulakan hari dan minggu kita dengan meneliti terjemahan ayat-ayat Allah itu. Semoga kita diberi kefahaman dan beroleh hidayah untuk terus menerus menambah pemahaman terhadap Islam melalui pembacaan alQuran.

InsyaAllah setakat ini dulu coretan saya. Pada siri akan datang saya akan kupas serba sedikit mengenai adab-adab terhadap alQuran (antara adab ADAT dan adab HUKUM). Semoga coretan yang serba kekurangan ini mampu menyedarkan kita, sekaligus memperbaiki kita di masa akan datang. Permohonan maaf atas sebarang perkataan yang menyakitkan hati, kerana sememangnya perbuatan itu adalah disengajakan, kerana memandang kepada keperluan semasa.

Wassalam..

No comments: